Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Kesemua kira-kira 2.2 juta pekerja asing sah di Malaysia akan menikmati liputan penuh di bawah Akta Perkeso untuk tuntutan berkaitan kecederaan mulai 1 Januari 2020.
Dalam satu kenyataan, MTUC berkata sungguhpun kerajaan mengumumkan liputan Perkeso untuk pekerja asing dilaksanakan mulai tahun ini, hakikat adalah ia hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya mulai Januari depan.
Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata tempoh masa itu adalah untuk menangani syarat-syarat polisi insuran yang dibeli oleh majikan untuk pekerja asing di bawah Akta Pampasan Pekerja sebelum ini.
Pekerja migran sebelum ini mendapat liputan Perkeso namun pada 1993, kerajaan mengalihkan segala soal tuntuan dan pampasan untuk pekerja asing di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952.
Peralihan itu, menurut Solomon menyebabkan ketidaksamarataan meluas dalam layanan pekerja asing berbanding pekerja tempatan yang menikmati kemudahan Perkeso.
Isu itu mendapat perhatian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sejak tahun 1996.
MTUC lantang mendesak keadaan itu diperbetulkan, supaya Malaysia mematuhi Konvensyen 19 ILO (C19) yang menjamin kesamarataan dalam kemudahan dan layanan terhadap semua pekerja bersabit pampasan kemalangan
Hasil desakan terbaru Solomon pada Jun 2018, ILO mengutus sebuah misi khas untuk memastikan tahap kepatuhan Malaysia terhadap C19.
“Misi ini yang dinamakan ‘Direct Contact Mission’ (DCM) juga bertujuan membantu kerajaan dan pihak berkepentingan (stakeholders) untuk melaksanakan syor-syor bersabit piawaian antarabangsa mengenai layanan dan pampasan kemalangan untuk pekerja,” kata Solomon.
Ini kali pertama ILO mengutus sebuah DCM ke Malaysia susulan pendirian tegas MTUC untuk memastikan semua pekerja sektor swasta, termasuk pekerja asing menikmati skim perlindungan Perkeso yang sesuai demi kebajikan mereka.
Solomon berkata masih ramai pekerja asing sah di Malaysia yang mengalami kesulitan mendapatkan bantuan Perkeso seperti rawatan dan pampasan untuk kecederaan di tempat kerja.
“Selain masalah ini, MTUC juga amat prihatin tentang nasib jutaan pekerja migran tanpa permit yang dinafikan sebarang kemudahan atau pampasan kemalangan di tempat kerja,” kata beliau.
Solomon berkata kerajaan harus menimbang untuk mendaftar dan memberi pengiktirafan kepada golongan ini yang sekali gus akan memastikan Malaysia menepati semua peruntukan C19 ILO di samping menangani masalah pekerja tidak sah ditindas oleh pelbagai pihak.
Solomon berkata dalam lawatan tiga hari ke Malaysia yang berakhir Khamis lalu, pasukan DCM daripada ILO memantau akses rawatan dan pampasan Perkeso untuk pekerja yang kecederaan di tempat kerja.
Adalah penting untuk memastikan pekerja migran di Malaysia tidak lagi terdedah kepada penganiayaan. Ini penting kerana ia berkait secara langsung dengan kebajikan pekerja tempatan, hak asasi serta hak mereka memperolehi kehidupan bermaruah.
Beliau berkata masalah pekerja migran menikmati liputan Perkeso masih belum ditangani dengan berkesan kerana kekurangan dialog dan rundingan bermakna antara rakan kongsi ‘tripartite’ terhadap isu itu.
“Malah DCM sendiri menegaskan proses rundingan dan komunikasi tripartite harus diperbaiki untuk mencapai hasil yang diinginkan oleh semua pihak terbabit,” tegas Solomon.
Solomon berkata DCM akan membuat laporan mengenai hasil rundingannya dengan pelbagai pihak di Malaysia untuk membolehkan badan dunia itu mengambil tindakan susulan dan mengemukakan syor serta cadangan kepada Putrajaya.
Segala langkah itu, menurut Solomon, bertujuan membantu kerajaan dan pihak berkepentingan memastikan semua pekerja, termasuk pekerja migran mempunyai skim perlindungan berkesan yang mampu membela nasib mereka.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com