Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA, 12 Jun (Bernama) — Dasar gaji minimum menarik lebih ramai rakyat tempatan memohon pekerjaan dalam sektor-sektor yang sekarang dimonopoli rakyat asing, kata timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam, Khamis.
Beliau memberitahu Bernama bahawa kesan positif daripada pelaksanaan dasar itu dapat dilihat apabila lebih ramai rakyat tempatan diambil bekerja di pasar raya, stesen minyak, syarikat perkhidmatan pembersihan, outlet makanan segera dan banyak lagi sektor.
Dasar itu juga membantu keluarga mendapat kuarters yang lebih selesa dan mempunyai kemampuan untuk membeli makanan berkhasiat di samping menikmati taraf hidup yang lebih tinggi secara keseluruhan.
Gaji minimum RM900 sebulan di semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak dilaksanakan awal tahun ini.
Balasubramaniam berkata kerajaan harus mengekalkan tempo ini dan mengurangkan secara drastik pengambilan pekerja asing.
Pada masa ini, ada kira-kira dua juta pekerja asing yang sah di Malaysia.
Beliau berkata MTUC bimbang kerana 200 hingga 300 pekerja asing yang diambil secara sah memasuki negara setiap hari.
Balasubramaniam berkata kerajaan hendaklah menghentikan pengambilan pekerja asing dengan mengambil kira permintaan bagi pekerja tempatan sedia ada.
Menurut beliau, MTUC bersedia untuk membantu kerajaan menempatkan pekerja tempatan di sektor-sektor yang sesuai dengan bantuan Jabatan Tenaga Manusia. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com