Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUCHING, 9 Jun (Bernama) — Penggunaan jentera yang meluas merupakan jalan keluar dalam penyelesaian masalah kekurangan tenaga pekerja dalam industri minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata walaupun usaha menambah bilangan tenaga kerja dilaksanakan, penggiat industri minyak sawit harus mengakui bahawa sektor itu perlu memulakan langkah mengurangkan pergantungannya terhadap tenaga buruh.
“Namun saya perlu ulangi bahawa tindak balas industri ini agak perlahan. Tahap penggunaan jentera dan automasi, terutama dalam sektor huluan bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh asing masih rendah, dan ini membimbangkan kami.
“Walaupun sesetengah jentera seperti penggunaan traktor mini, tong pengaup traktor mini dan mesin lain telah diperkenalkan, ia masih tidak mencapai tahap yang diharapkan,” katanya pada perasmian Seminar Industri Sawit: Isu, Prestasi dan Kemampanan (PILIPS 2014) di sini Isnin.
Uggah berkata sudah tiba masanya industri itu meneroka kemungkinan memperkenalkan teknologi baharu dan terkini, seperti yang dibangunkan dalam bidang robotik bagi meningkatkan produktiviti dan keselamatan serta mengurangkan kos.
Sementara itu, Uggah berkata pengangguran masih berleluasa di banyak bahagian negara ini terutama di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Kadar pengangguran semasa di Malaysia adalah kira-kira tiga peratus. Kumpulan besar penduduk tempatan yang menganggur boleh menjadi sumber besar buruh yang boleh digunakan bagi mengurangkan pergantungan terhadap buruh asing,” katanya.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Choo Yuen May berkata pengeluaran CANTAS, alat pemotong bermotor untuk menuai kelapa sawit, akan ditambah kepada 20,000 unit setahun menjelang 2020 berbanding 5,000 unit setahun kini.
“Harga alat itu akan dikurangkan daripada RM5,000 seunit kepada RM2,500 bagi menggalakkan penggunaannya secara meluas,” katanya, sambil menambah bahawa usaha telah diambil bagi meningkatkan keupayaan jentera itu untuk menuai pokok kelapa sawit yang tinggi lebih daripada 15 kaki.
“Selain itu, keutamaan diberikan kepada ketahanan pengait serta perkhidmatan selepas jualan bagi menggalakkan lebih ramai pemilik ladang memilih teknologi penuaian yang lebih baik itu,” kata Dr Choo. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com