Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran kad itu dibuat atas permintaan golo­ngan majikan untuk mendaftarkan pekerja PATI mereka selain membantu kerajaan merekodkan jumlah sebenar pekerja asing di negara ini.

“Jika mereka tidak ada dokumen, ertinya mereka bekerja secara haram, levi (kepada kerajaan) tidak dibayar, begitu juga dari segi perlindungan insurans, tidak ada dan juga mereka tidak mendapat faedah sosial jika berlaku sebarang kemalangan.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI (JKKPA-PATI) Kali ke-16 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, pengeluaran kad yang perlu diperbaharui setiap tahun itu akan dikendalikan oleh Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigre­sen dan ia akan diberikan untuk pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen dari negara asal serta tidak diiktiraf sebagai warga dari negara asal mereka.

Katanya, menerusi sistem yang akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kebenaran bertulis Jabatan Peguam Negara itu, kerajaan memberi pilihan kepada pihak majikan mendaftarkan secara sah pekerja asing yang sedang digajikan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, mesyuarat tersebut bersetuju memperluaskan kelonggaran pengambilan pekerja asing bagi sektor perlombongan serta beberapa subsektor me­rangkumi penternakan unggas, pengendalian kargo di pelabuhan serta perkhidmatan spa dan urut kaki, hospitaliti, pulau peranginan dan kedi golf.

Katanya lagi, kerajaan juga sedang membangunkan Sistem Permohonan Pekerja Asing Bersepadu (SPPA) bagi memudahkan urusan permohonan pengambilan pekerja asing termasuk secara atas talian.

Dalam pada itu, jelas Ahmad Zahid, bilangan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif di negara ini telah berkurangan kepada 1.86 juta orang pada tahun lalu berbanding 2.13 juta orang pada tahun 2015.

“Ini memperlihatkan pengurangan kira-kira 300,000 pekerja asing pada tahun yang lalu tetapi kesan kepada ekonomi adalah terlalu besar termasuk kekura­ngan eksport dan produktiviti yang banyak serta sektor per­khidmatan yang tidak mempu­nyai pekerja,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi me­ngatasi kekurangan pekerja asing, kerajaan meminta pihak industri untuk beralih kepada automasi berbanding tenaga buruh serta institusi-institusi pendidikan per­lu melahirkan lebih ramai warga tempatan sebagai pekerja mahir dan separa mahir.

“Selepas tahun 2020 hingga tahun 2050, kita mahu hanya kira-kira 15 peratus sahaja daripada seluruh sektor pekerjaan itu adalah orang asing manakala 85 peratus mesti diwajibkan pekerja tempatan termasuk dalam bidang 3D (bahaya, kotor dan sukar), itu apa diputuskan mesyuarat hari ini,” ujarnya.

Berhubung projek perintis untuk membenarkan pelarian Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pela­rian (UNHCR) bekerja di Malaysia, Ahmad Zahid memberitahu, pihaknya akan melengkapkan jumlah peserta projek perintis itu dari 150 orang ketika ini kepada 300 orang.