Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH MELATI A. JALIL
Mengenakan bayaran perubatan penuh kepada bukan warganegara akan mengurangkan tenaga kerja asing kerana beberapa syarikat mula menimbangkan menghantar balik pekerja mereka kerana peningkatan dalam kos penggajian, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan.
Katanya, keadaan itu mungkin tidak drastik seperti ketika krisis kewangan 1998, apabila lebih 800,000 pekerja asing dihantar pulang, tetapi menegaskan banyak syarikat yang mengalami masalah kewangan pada ketika ini, dengan pendapatan jatuh sehingga 40%.
“Ini yang mungkin akan berlaku kerana ekonomi tidak begitu baik dan pastinya, memang ada majikan yang membincangkan dengan kami langkah perlu diambil untuk menghantar balik sesetengah pekerja asing sebelum tempoh matang kontrak mereka.
“Saiz perniagaan yang mereka jalankan tidak mewajarkan mereka menyimpan pekerja itu lagi,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insider apabila ditanya mengenai kesan ke atas syarikat, susulan pengumuman terbaru Putrajaya itu.
“Jika mereka (majikan) tidak dapat menanggung (kenaikan kos), mereka akan mengurangkan bilangannya,” katanya.
Penjagaan kesihatan di semua hospital dan klinik kerajaan ketika ini bersubsidi, tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 di Parlimen pada 23 Oktober berkata, kerajaan akan mula mengenakan caj penuh ke atas bukan warganegara untuk kos rawatan perubatan mulai 1 Januari.
Shamsuddin berkata semua industri terjejas akibat kenaikan kos dalam mengambil pekerja asing berdasarkan keadaan ekonomi yang dijangka terus suram tahun depan.
Beliau juga melihat langkah mengenakan caj perubatan penuh sebagai satu percubaan oleh jabatan kerajaan untuk membuat wang tambahan daripada mereka yang menggaji pekerja asing.
“Sebab itulah MEF selama ini menggesa agar hanya satu agensi terlibat dalam pengambilan pekerja asing, supaya tidak ada kenaikan caj terhadap pekerja asing.
“Memang diketahui, kalau melibatkan penggajian pekerja asing, akan ada banyak jabatan kerajaan yang terlibat,” katanya.
Beliau mencadangkan semua perkara yang berkaitan dengan pekerja asing diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Kami setuju kelulusan perlu di bawah Kementerian Dalam Negeri, tetapi apabila mereka berada di dalam negara ini, Kementerian Sumber Manusia yang sepatutnya menguruskan mereka.
“Sekarang ini, dalam kita menguruskan pekerja asing, perhatian lebih diberi kepada soal keselamatan berbanding keperluan sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata, majikan perlu lebih tegas dalam hal menghantar pekerja asing mereka berjumpa doktor kerana ia boleh membawa kepada kesan jangka panjang tidak diingini seperti penyakit tertentu yang tidak dapat dikesan atau dikawal.
Selain peningkatan dalam kos ditanggung majikan, Shamsuddin berkata, langkah itu juga tidak membantu imej antarabangsa negara ini kerana Malaysia akan dianggap menerima pakai amalan diskriminasi.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Kishnam sementara itu berkata, keputusan terbaru kerajaan itu boleh meningkatkan peluang pekerjaan warga tempatan, memandangkan syarikat akan sedar kosnya lebih mahal untuk mengambil pekerja asing.
“Apabila anda menggaji pekerja tempatan, gaji minimum dan kos tambahan lain boleh jadi kira-kira RM1,300, tetapi kalau mengambil pekerja asing, kosnya RM1,700.
“Ini akan buatkan majikan berfikir, mengapa tidak mengambil pekerja tempatan saja dan membayar sedikit.
“Langkah ini bijak, supaya majikan tidak memilih pekerja asing sebagai pilihan pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata, pekerja asing perlu diberi perlindungan keselamatan sosial di bawah Perkeso.
“Tidak boleh ada diskriminasi terhadap pekerja asing apabila pekerja Malaysia dilindungi di bawah Perkeso,” katanya.
Beliau juga menggesa satu polisi yang tidak berat sebelah terhadap pekerja asing kerana mereka memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia. – 29 Oktober, 2015.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com