Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) — Anjakan demografi, terutama kepesatan perbandaran, memberi cabaran baharu dalam meneruskan strategi pendidikan kewangan yang bermakna untuk merealisasikan pengurusan kewangan berkesan dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata Asia mengalami perubahan demografi yang paling pesat di dunia sejak dua dekad lepas, dan beberapa ekonominya kini berhadapan cabaran baharu, termasuk pertumbuhan penduduk yang lebih perlahan, penuaan, perbandaran yang semakin pesat serta jangka hayat yang lebih lama.
Beliau berkata jumlah penduduk bandar di Asia diunjur berkembang kepada 56 peratus pada 2030 berbanding 43 peratus pada 2010 dan terus meningkat kepada 64 peratus pada 2050, dan menambah seiring peningkatan itu, bilangan penduduk di bandar raya mega akan melebihi 10 juta.
Zeti berkata demikian dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak ke-11 Pendidikan Kewangan CITI-FT 2014, bertema ‘Meluaskan Peluang Menerusi Keupayaan Kewangan: Inovasi Bandar dan Usaha Sama’, di sini Rabu.
Beliau berkata setinggi mana pun pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dunia, sudah diperakui bahawa ia akan pincang apabila wujud ketidaksaksamaan dan perbezaan pendapatan yang luas.
“Oleh itu, pertumbuhan seimbang penting untuk kemajuan sosioekonomi.
“Bagi menanganinya, pertumbuhan terangkum kini menjadi pilihan pembuat dasar di rantau ini, dan ia perlu diperkukuh dengan strategi bersasar, dengan menyiapkan individu yang lengkap untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi, kewangan dan realiti sosial baharu yang mendepani mereka.
“Kurangnya kesedaran mengenai pelbagai jenis produk kewangan, tahap keyakinan yang rendah dan pengetahuan yang lemah mengenai kaedah produk beroperasi, merupakan halangan kepada keterangkuman kewangan dan menjadi lebih sukar dalam keadaan sistem kewangan yang dipacu teknologi yang semakin kompleks.
Menurut Zeti, pendidikan kewangan memain peranan penting untuk menangani halangan itu, yang memerlukan pendekatan yang lebih inovatif, usaha sama lebih luas serta pemahaman yang lebih mendalam terhadap amalan sosial.
Beliau berkata komitmen terhadap pendidikan kewangan sewajarnya merupakan lanjutan komitmen semula jadi industri kewangan terhadap amalan profesional dan etika dalam perniagaan dan strategi yang diperlukan selain memberi tumpuan penuh ke atas usaha membangunkan regim perlindungan pengguna.
“Pengalaman daripada krisis kewangan dunia menunjukkan rangka kerja perlindungan pengguna yang berkesan, yang bermatlamat bukan sahaja untuk melindungi individu daripada risiko berlebihan, malah juga sistem kewangan daripada risiko sistem,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia Lee Lung Nien berkata bank itu menerusi usaha pendidikan kewangannya sejak 2003, menyokong usaha Bank Pusat itu dalam menangani jurang keupayaan kewangan tempatan dan telah menyumbang AS$2 juta untuk geran Yayasan Citi.
Pada 2013 Yayasan Citi melabur lebih AS$24.8 juta untuk keupayaan kewangan dan program pembangunan aset dunia, bagi mengupayakan masyarakat dalam mengurus urusan kewangan dan membangunkan aset perlindungan.
— BERNAMA
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com