Undi tolak ILO: MTUC dakwa wujud salah faham
29 Jun 2019 Print page
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa wujud salah faham sehingga menyebabkan pertubuhan tersebut menolak konvensyen menghapuskan keganasan dan gangguan di tempat kerja (C190) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), baru-baru ini.
Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor memberitahu, C190 sebenarnya bertepatan dengan dasar dan matlamat MTUC dan pertubuhan itu tetap komited untuk memperoleh persetujuan kerajaan bagi meratifikasi konvensyen berkenaan.
Sambil berharap tohmahan kepada MTUC dihentikan segera, Abdul Halim turut menegaskan kepemimpinan MTUC amat jelas mengenai tanggungjawab utamanya iaitu berjuang ke arah memperbaiki persekitaran kerja termasuk upah dan kemudahan demi maruah pekerja.
“Saya mengambil perhatian terhadap pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak berhubung undi MTUC terhadap C190. Justeru, saya ingin memberi pencerahan sepenuhnya terhadap isu berkenaan agar tidak wujud sebarang prasangka mengenai komitmen kami melindungi semua golongan pekerja tidak kira agama, bangsa atau jantina.
“Bagaimanapun, pihak saya akur berlaku salah faham atau salah tanggapan tertentu yang membawa kepada MTUC mengundi menentang C190. Buat masa ini, lebih elok untuk diri saya dan kepemimpinan MTUC tidak menghuraikan salah faham yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengundian yang diadakan pada 21 Jun lalu di Geneva, Switzerland itu menyaksikan anggota ILO terdiri daripada pihak kerajaan, persekutuan majikan dan wakil pekerja memberi mandat kuat untuk menerima C190 dengan 439 perwakilan mengundi bersetuju manakala hanya tujuh menentang.
Bagaimanapun, wakil Malaysia iaitu MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) merupakan antara tujuh pihak yang mengundi menolak resolusi antarabangsa itu dengan MTUC adalah satu-satunya kesatuan sekerja dalam dunia yang menentang C190.
MTUC dan MEF dilaporkan menolak konvensyen berkenaan disebabkan klausa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disenaraikan sebagai kumpulan ‘mudah terjejas’ dalam draf konvensyen pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Abdul Halim turut menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bahawa kerajaan boleh menyokong perakuan-perakuan yang terdapat dalam konvensyen berkenaan.
“Saya juga menggesa semua pihak untuk memperincikan cadangan pembaharuan undang-undang buruh MTUC yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini. Cadangan berkenaan adalah komprehensif demi memastikan semua golongan pekerja memperolehi perlindungan wajar daripada keganasan atau gangguan tanpa mengira latar belakang mereka.
“Apa pun, MTUC akan melancarkan program kesedaran mengenai C190 untuk pekerja dan pada masa sama mengambil tindakan yang perlu untuk meyakinkan kerajaan supaya meratifikasi konvensyen ini,” ujar beliau.
Source : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/undi-tolak-ilo-mtuc-dakwa-wujud-salah-faham-1.926611