TNB kongsi tips penjagaan elektrik
21 Jun 2017 Print page
SHAH ALAM – Sempena cuti perayaan Aidilfitri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna meninggalkan kediaman dengan peralatan elektrik dalam keadaan baik dan selamat.
Pengurus Besar Kanan, (Hal Ehwal Korporat), Kumpulan Komunikasi Korporat TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, terdapat beberapa tips penggunaan elektrik bersifat praktikal dan bijak tenaga serta boleh dijadikan amalan sebelum pulang ke kampung.
“Antara beberapa tips yang mudah diamalkan ialah pastikan suis peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mengelak arus elektrik terus mengalir.
“Sekiranya perlu menyalakan lampu rumah bagi mengelakkan kecurian, sila pertimbangkan penggunaan timer supaya lampu tidak dipasang 24 jam sehari,” katanya.
Menurut beliau, pengguna juga perlu memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.
“Uji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker, adalah satu amalan sebulan sekali,” katanya.
Pengguna disaran menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk mendapatkan bantuan
Source : http://www.sinarharian.com.my/nasional/tnb-kongsi-tips-penjagaan-elektrik-1.692687