Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk meratifikasi konvensyen menghapuskan keganasan dan gangguan di tempat kerja (C190) bertepatan dengan dasar dan matlamat perjuangan entiti itu membela pekerja di negara ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata meskipun terdapat salah faham sehingga pihaknya mengundi menentang C190, namun keputusan akan dibuat kelak mesti mengambil kira kepentingan dan keutamaan pekerja.
Beliau berkata, MTUC memberi komitmen sepenuhnya untuk memperoleh persetujuan kerajaan meratifikasi konvensyen berkenaan jika C190 diterima pakai Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Saya mengambil perhatian terhadap pandangan dilontarkan pelbagai pihak berhubung undi MTUC terhadap C190. Segelintir pandangan agak kesat dan cetek oleh pihak tertentu amat dikesali kerana ia jelas mempunyai agenda peribadi dan politik.
“Saya ingin memberi pencerahan sepenuhnya terhadap isu berkenaan supaya tidak wujud sebarang prasangka mengenai komitmen dan iltizam dalam melindungi semua golongan pekerja tidak kira agama, bangsa atau gender.
“C190 bertepatan dengan dasar dan matlamat MTUC membela warga pekerja, namun saya akur berlaku salah faham dan salah tanggapan tertentu yang membawa kepada MTUC mengundi menentang C190. Buat masa ini, lebih elok untuk saya dan kepemimpinan MTUC tidak menghuraikan salah faham dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Halim berkata, MTUC menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia, S Kulasegaran pada Khamis lalu bahawa kerajaan boleh menyokong perakuan dalam konvensyen berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, MTUC akan melancarkan program kesedaran mengenai C190 untuk pekerja dan merancang mengambil tindakan perlu dalam usaha meyakinkan kerajaan supaya meratifikasi konvensyen ini.
Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu memperinci cadangan pembaharuan undang-undang buruh MTUC yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini.
“Cadangan berkenaan adalah komprehensif demi memastikan semua golongan pekerja memperoleh perlindungan wajar daripada keganasan atau gangguan tanpa mengira latar belakang mereka.
“Ia sebenarnya merangkumi hampir keseluruhan peruntukan dalam C190 dan kami yakin Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) akan menerima cadangan itu demi memastikan kepentingan dan keselamatan semua pekerja tidak terpinggir, malah ditambah baik.
“Kami teruja dengan komitmen dipamerkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam membela dan amat berharap iltizam itu akan menghasilkan pembaharuan undang-undang yang diingini MTUC dan warga pekerja selama ini,” katanya.
Source : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/579265/ratifikasi-c190-seiring-perjuangan-mtuc
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com