Protes majikan tindas pekerja
22 September 2018 Print page
KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) berhimpun di hadapan sebuah bank di ibu negara sebagai tanda protes terhadap pelanggaran perjanjian ditandatangani pada 2010 berkenaan penstrukturan sistem pekerjaan.
Protes dengan plakad bertulis tekan hon tanda sokong, bank tepati janji dan hormati hak pekerja dengan laungan mendesak pihak atasan mengadakan pertemuan dengan Nube berlangsung selama dua jam bermula jam 5 petang tadi.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, bank yang beroperasi sejak 1994 itu telah mengubah sistem pekerjaan menggunakan pekerja luar menggantikan peranan kerani sebagai mengurangkan kos pengoperasian.
“Pada 2010 sehingga 2017 lebih 400 kakitangan di bawah Nube telah diberhentikan dengan Skim Skim Pemisahan Sukarela (VSS) secara tidak langsung telah menyekat pendapatan ahli khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah.
“Nube telah membuat bantahan dan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menghentikan penindasan ini yang mengambil proses panjang memaksa bantuan campur tangan kerajaan untuk penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata, keputusan dan perubahan sistem bank banyak memberikan kesan kepada pekerja seolah dengan sengaja mengurangkan jumlah ahli Nube.
“Piket terpaksa dibuat bagi menarik perhatian kerajaan untuk tindakan supaya amalan tidak sihat ini tidak dicontohi oleh bank-bank lain.
“Kami minta campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengatur pertemuan antara Nube dan pihak bank supaya isu ini diselesaikan dan tidak berlarutan sebagai menyelamatkan pekerja,” katanya.
Tambahnya, kerajaan digesa menyemak pengoperasian bank tersebut yang didakwa melanggari prosedur ditetapkan Bank Negara bagi menyelamatkan pekerja dan wang pelanggan.
“Jika tak selesai, kami bercadang untuk protes di Parlimen kerana ini melibatkan periuk nasi pekerja.
“Memorandum kepada Kementerian Kewangan telah dihantar sejak empat bulan lalu namun sehingga kini belum ada maklum balas,” katanya.
Source : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/protes-majikan-tindas-pekerja-1.882550