Pekerja asing makin kurang, lebih banyak restoran bakal ditutup, kata laporan
19 Mac 2018 Print page
RIBUAN restoran dan kedai makanan serta minuman ditutup tahun lepas susulan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap pengambilan pekerja asing, lapor Straits Times.
Menurut tiga persatuan yang mewakili kira-kira 20,000 restoran di Malaysia, kira-kira 2,000 kedai kopi Cina dan 400 restoran India-Muslim terpaksa menutup perniagaan tahun lepas.
Pemain industri menyebut, lebih banyak lagi yang terpaksa menutup perniagaan tahun ini jika kerajaan tidak campur tangan untuk mencari penyelesaian kepada kekurangan tenaga buruh.
Pada 2016, kerajaan mengenakan pembekuan sementara ke atas pengambilan pekerja asing. Susulan itu, majikan terbabit mengadu bahawa proses mendapatkan permit kerja menjadi lebih ketat dan memerlukan waktu lebih lama, kata akhbar itu.
“Kami bukan sahaja kekurangan tukang masak, kami tidak mempunyai pelayan yang mencukupi,” kata Presiden Persatuan Pemilik Restoran India (Primas) T. Muthusamy.
Straits Times melaporkan, angka rasmi menunjukkan terdapat 1.78 juta pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor dalam ekonomi, dengan 71,000 daripadanya bekerja dalam industri restoran.
Menurut majikan terbabit, mereka bergantung kepada pekerja asing kerana tidak ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja untuk tempoh yang lama.
“Ada kalanya restoran itu maju dan memerlukan pekerja bekerja lebih masa dua jam. Penduduk tempatan enggan tetapi pekerja asing sanggup,” kata Presiden Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura, Ho Su Mong.
Mereka mengakui boleh mengambil pekerja tempatan tetapi majikan – dan seterusnya pelanggan – perlu bersedia untuk membayar lebih.
Hakikat ini, menurut Muthusamy daripada Primas tidak akan diterima oleh ramai rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan harga makanan murah di kebanyakan restoran mamak.
“Mamak menjual makanan murah. Jika kita mengambil penduduk tempatan, ia akan menyebabkan harga kos makanan naik,” katanya kepada The Straits Times.
Walaupun majikan sanggup membayar lebih kepada penduduk tempatan, beliau tidak yakin jika ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja dalam bidang layanan ini.
Sementara itu, sesetengah pemilik perniagaan terdesak mengambil tindakan mengupah pekerja asing tanpa izin untuk mengatasi masalah itu.
“Bukannya kita tidak mahu menjadi rakyat yang mematuhi undang-undang tetapi kita tidak ada pilihan,” kata seorang pemilik restoran kepada akhbar itu.
“Kita perlu mencari jalan untuk memastikan perniagaan terus beroperasi.” – 18 Mac, 2018.
Source : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/43606/