Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR: Menyifatkan undang-undang pekerja di negara ini sebagai lapuk kerana digubal pasca negara merdeka, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan melakukan reformasi pada akta berkaitan untuk membela hak pekerja.
Reformasi itu antaranya menetapkan elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM300, cuti bersalin 60 hari dinaikkan kepada 98 hari, membenarkan pekerja menunaikan haji mendapat gaji selama 30 hari dan menyediakan elaun perumahan untuk pekerja di bandar.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata itu adalah antara cadangan akan diusulkan kepada kerajaan untuk diterap ke dalam Akta Kerja 1955 khususnya yang membabitkan kebajikan dan hak pekerja swasta di Malaysia.
Katanya, MTUC juga mencadangkan kerajaan mengkaji semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959, selaras dengan janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“MTUC akan mengemukakan cadangan pindaan komprehensif untuk ketiga-tiga akta ini bagi menambah baik kebajikan pekerja serta membela maruah mereka.
“Undang-undang buruh di Malaysia sudah lapuk kerana digubal pada tahun 1950-an dan 1960-an dengan hanya beberapa pindaan terhad dilakukan oleh pemerintah sebelum ini.
“Persekitaran dunia pula sudah amat berubah dengan tumpuan utama sekarang adalah mengutamakan nilai kemanusiaan, maruah insan dan hak pekerja. Justeru pembaharuan undang-undang pekerja di Malaysia perlu disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Solomon berkata, MTUC juga akan mencadangkan pelbagai bentuk kemudahan dan ganjaran lain kepada kerajaan untuk dibincangkan di peringkat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.
“MTUC yakin kerajaan dan majikan akan menimbang serius cadangan kami. Keperluan untuk merapatkan jurang pendapatan di Malaysia tidak boleh dibiarkan lagi. Semua pihak berkepentingan mesti beriltizam memastikan pengagihan saksama kemewahan negara,” katanya.
Pada masa sama, Solomon mengingatkan golongan pekerja di negara ini supaya turut melakukan reformasi terhadap cara dan budaya bekerja mereka untuk menyumbang ke arah kesejahteraan bersama.
“Warga pekerja harus mengubah budaya kerja mereka ke arah menjadikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan meraih manfaat daripada kejayaan itu,” katanya.
Info
* Kemudahan dan ganjaran akan disarankan MTUC kepada kerajaan
• Meningkatkan had gaji daripada RM2,000 kepada RM10,000 untuk membolehkan lebih ramai pekerja dilindungi Akta Kerja 1955.
• Cuti tujuh hari untuk suami ketika isteri bersalin.
• Akta Kerja meliputi pekerja tempatan dan buruh asing.
• Pemeriksaan kesihatan dan semua rawatan berkenaan ditanggung majikan.
• Tempoh 15 minit diberikan di akhir setiap dua jam kerja untuk membolehkan pekerja melakukan senaman ringan demi kesihatan mereka selain mengekang kos perubatan syarikat.
• Majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di perkarangan premis kerja yang mempunyai lebih 100 kakitangan. Pilihan lain adalah membayar elaun bulanan RM300 untuk anak-anak yang berumur tujuh tahun ke bawah dengan maksimum lima anak satu keluarga.
• Majikan menyediakan bilik selamat dan bersih untuk membolehkan ibu menyusu.
• Menambah cuti sakit (MC) pesakit luar daripada 15 hari kepada 30 hari dan 60 hari untuk rawatan di hospital, tanpa dikekang tempoh perkhidmatan kakitangan. Mereka yang tidak menggunakan sepenuhnya 30 hari itu boleh menggunakannya sebagai tambahan untuk cuti sakit rawatan di hospital.
• Elaun perumahan bulanan RM300 untuk pekerja di kawasan bandar atau pemberian subsidi ke atas kadar faedah pinjaman perumahan bagi golongan berpendapatan RM10,000 ke bawah.
Source : https://www.bharian.com.my/…/mtuc-cadang-kerajaan-lakukan-r…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com