Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperuntukakn dana sendiri untuk membina pusat rehabilitasi berharga RM500 juta, yang disebut terbesar di Asia Tenggara, dan bukannya menggunakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Kerajaan mengumumkan projek itu dalam Belanjawan 2020 dibentangkan pada 11 Okt lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MTUC berkata pihaknya tidak membantah cadangan pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso malah menggalakkan pembinaan lebih banyak kemudahan sedemikian demi manfaat pekerja.
Bagaimanapun kata MTUC, pihaknya mempersoalkan sumber dana untuk pembinaan itu, lokasi dan ketelusan mengadakan projek tersebut.
“Sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan, projek di bawah Belanjawan 2020 ini akan dibiayai menerusi dana Perkeso yang rata-rata berupa caruman majikan dan pekerja yang kebanyakkannya merangkumi golongan berpendapatan rendah,” kata MTUC, yang mempersoalkan sama ada projek itu ada kaitan dengan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran selaku ahli Parlimen Ipoh Barat.
Sabtu lalu, MTUC mengecam menteri itu bertindak angkuh dan sebagai militan dalam proses meminda Akta Perhubungan Perusahaan dengan memungkiri janji yang diberikan kepada MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Oleh itu kata MTUC, pihaknya amat khuatir tentang kelangsungan dan keupayaan Perkeso terus menyalur bantuan kepada pekerja, khusus yang melibatkan pampasan dan pembayaran, jika dana Perkeso semakin diguna untuk membina dan mengurus pusat rehabilitasi di Ipoh.
Kompleks atau pusat sehenti berkenaan yang bernilai RM500 juta dijangka menjadi pusat terbesar seumpamanya di Asia Tenggara selepas siap dibina kelak.
Ketika membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Perkeso juga akan membina sebuah pusat rehabilitasi baru dengan kos RM500 juta di Perak selepas kejayaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka.
Pusat baru ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan, kata Lim.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, secara dasarnya kerajaan negeri sudah mencapai persetujuan dengan pihak Perkeso untuk membina pusat berkenaan.
Sivanesan berkata, kerajaan negeri bersetuju menyediakan tanah seluas 40 hektar bagi tujuan pembinaan itu dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mencadangkan ia dibina di kawasan bandar raya ini.
Badan induk wakil pekerja itu berkata dengan pembinaan projek itu bermakna RM500 juta hasil caruman pekerja akan mengalir keluar hanya untuk kos pembinaan.
Katanya, berpandukan pengalaman lampau, kos pembinaan akan meningkat sehingga 30% apabila projek itu siap kelak.
“Sayugia diingatkan pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka menokok daripada RM200 juta kepada RM275 juta apabila ia siap dibina pada tahun 2014.
“Justeru, MTUC menggesa kerajaan untuk menimbang semula penggunaan dana Perkeso bagi membiayai projek Pusat Rehabilitasi di Ipoh kerana ia berisiko menjejaskan kewangan Perkeso,” kata MTUC.
Katanya lagi, Perkeso kini menanggung beban belanja kira-kira RM75 juta setahun bagi mengurus dan mengendalikan Pusat Rehabilitasi di Melaka.
“Apabila pusat rehabilitasi Ipoh siap, selain dana RM500 juta untuk kos pembinaan, Perkeso juga akan menanggung kira-kira RM300 juta setiap tahun untuk mengendalikan dua pusat rehabilitasi itu.
“Ini dikhuatiri akan mencetuskan pendarahan kewangan untuk Perkeso sehingga berkemungkinan menjejaskan kelangsungan organisasi itu dan memaksa kerajaan menyelamatkannya dengan suntikan dana,” kata MTUC dan menambah, kerajaan wajar n membiayai sendiri projek pusat rehabilitasi di Ipoh dan tidak menggunakan caruman pekerja kepada Perkeso.
MTUC juga mendesak kerajaan untuk menyerahkan tanggungjawab mengurus dan mengendalikan pusat rehabilitasi di Melaka dan Ipoh kelak kepada Kementerian Kesihatan yang sememangnya mempunyai bidang kuasa dan kepakaran untuk berbuat demikian.
Menurut MTUC, jika dana Perkeso tidak digunakan secara berhemah, ia akan menjejaskan keupayaan jangka panjang organisasi itu untuk menyediakan faedah kepada pencarum.
“Perlu ditegaskan sudah ada suara-suara melahirkan kebimbangan Perkeso mungkin terjemurus dalam insolvensi jika kewangannya tidak diperteguhkan.
“Kerajaan tidak boleh menganggap Perkeso sebagai kantung wang yang boleh digunakan sewenang-wenangnya. Kewangan Perkeso bersandarkan caruman hasil keringat usaha pekerja demi keperluan semasa kecemasan dan masa depan mereka,” katanya.
MTUC berkata, pihaknya kesal kerana sekali lagi dalam isu pembinaan pusat rehabilitasi Perkeso di Ipoh, semangat rundingan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja telah diabaikan.
“MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia menggunakan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) untuk memperincikan butiran pelaksanaan projek tersebut.
“Lembaga pengarah Perkeso juga harus mengambil pendekatan sama dengan mendokong semangat Konvensyen 144 ILO, bersabit Rundingan Tripartite.
“Rundingan sedemikian boleh mengusulkan pendekatan untuk menjayakan projek berkenaan dan pada masa sama memastikan keutuhan Perkeso,” katanya.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/…/mtuc-bantah-pusat-reha…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com