LKM tarik balik notis berhenti kerja
27 Julai 2017 Print page
KUALA LUMPUR: Notis pemberhentian kerja terhadap 281 kakitangan sementara Lembaga Koko Malaysia (LKM) di seluruh negara akan ditarik balik.
Pengerusi LKM, Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh, berkata arahan pemberhentian sebelum ini bukan keputusan dibuat Lembaga Pengarah agensi yang berpusat di Kota Kinabalu itu.
Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata makluman pemberhentian dibuat oleh pengurusan LKM.
“Surat penamatan yang dikeluarkan oleh pengurusan bukan keputusan Lembaga Pengarah (LKM) sudah diarah ditarik balik,” katanya dalam jawapan ringkas kepada BH, sebentar tadi.
Sebelum ini, LKM mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada 281 kakitangan sementara LKM di seluruh negara pada 10 Julai lalu.
Serentak itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu notis berkenaan ditarik balik kerana langkah itu bakal menjejaskan nasib pekerja berkenaan.
Presiden CEUPACS, Datuk Azih Muda, berkata notis itu bukan saja menganiaya kakitangan terbabit, malah disifatkan sebagai pemberhentian pekerja secara besar-besaran yang terburuk dalam sejarah perkhidmatan awam.
Beliau berkata, tindakan drastik LKM yang mempunyai 730 warga kerja memberhentikan 281 daripadanya tidak masuk akal kerana rata-rata mereka adalah pekerja berkemahiran dalam bidang masing-masing.
Source : http://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2017/07/305893/lkm-tarik-balik-notis-berhenti-kerja