Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
11 Mei 2014
IPOH – Dua pemandu lori dari sebuah syarikat di kawasan perindustrian di sini mendakwa kesal apabila diarahkan berhenti serta merta oleh sebuah syarikat pengangkutan 5 Mei lalu.
Lebih dikesali, arahan itu hanya dinyatakan secara lisan oleh pihak syarikat berkenaan tanpa mengemukakan arahan rasmi bertulis berhubung perkara berkenaan.
Malah, pihak majikan turut didakwa gagal mengemukakan sebarang bukti mahupun sebarang alasan yang munasabah berhubung arahan pemberhentian itu.
Pemandu lori, K Nandakumar, 39, berkata, dia terkejut apabila mendapat arahan daripada majikan memintanya berhenti, sekali gus menyebabkan dia hilang sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Katanya, pihak majikannya juga gagal mengemukakan alasan munasabah dengan menyatakan lori yang dipandunya sudah dijual.
“Namun rakan-rakan memberitahu lori tersebut tidak dijual dan masih digunakan.
“Sehingga hari ini saya masih tidak tahu sebab saya dihentikan kerja. Saya tidak ada melakukan kesalahan atau melanggar peraturan. Oleh itu, saya minta pihak berkenaan segera tangani masalah ini,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerjanya S Subramaniam, 53, yang turut menerima nasib sama berkata, pihak syarikat berkenaan gagal mengemukakan sebarang alasan bagi menyokong arahan pemberhentian mereka berdua.
Katanya, arahan berkenaan dibuat tanpa mengikut prosedur betul kerana hanya dinyatakan secara lisan.
“Sepatutnya mereka beri surat dan nyatakan sebab diberhentikan kerja,” katanya.
Dakwanya, selama enam bulan potongan KWSP tidak dibuat daripada pihak majikan selain dia tidak dibayar gaji untuk kerja lebih masa.
“Cuti sakit juga tidak dibayar majikan, selain tidak diberi cuti tahunan.
“Kita menuntut agar pihak majikan memberi penjelasan mengapakah kami diberhentikan kerja, dan mengapa gaji kerja lebih masa kami tidak dibayar?” katanya.
Dalam pada itu, Koordinator Biro Persatuan Pemandu Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Buntong, G Sagaya berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu pada mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita akan bincangkan perkara ini pada mesyuarat biro persatuan nanti dan berharap satu keputusan yang adil dapat dibuat,” katanya.
Sementara itu, pihak syarikat pengangkutan berkenaan enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan tersebut.
Sumber: Sinar Harian
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com