Batalkan notis henti kerja petugas sementara LKM: CUEPACS
27 Julai 2017 Print page
KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta notis pemberhentian kerja kepada 281 kakitangan sementara Lembaga Koko Malaysia (LKM) di seluruh negara ditarik balik.
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata notis bertarikh 10 Julai lalu itu bukan saja menganiaya kakitangan terbabit, malah disifatkan sebagai pemberhentian pekerja secara besar-besaran yang terburuk dalam sejarah perkhidmatan awam negara.
Beliau berkata tindakan drastik LKM yang mempunyai 730 warga kerja memberhentikan 281 daripadanya tidak masuk akal kerana rata-rata mereka adalah pekerja berkemahiran dalam bidang masing-masing.
Beliau berkata, walaupun LKM memiliki kuasa untuk menamatkan kakitangan berstatus sementara, tindakan memberikan notis singkat dengan tarikh akhir bekerja sehingga 13 Ogos depan dianggap tidak berperikemanusiaan.
Katanya, ada antara mereka sudah berkhidmat di LKM selama 17 tahun dan secara tiba-tiba menerima notis pemberhentian.
“Bayangkan ketika ada kakitangan terbabit masih bergembira menyambut Aidilfitri, tiba-tiba diberikan notis pemberhentian kerja pada 10 Julai lalu, iaitu kira-kira sebulan sebelum perkhidmatan mereka ditamatkan.
“Mereka ada tanggungan dan mungkin ramai yang berdepan risiko diisytiharkan muflis akibat tidak dapat membayar pinjaman kenderaan dan rumah selepas diberhentikan kerana bukan mudah untuk mencari pekerjaan baharu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau bertemu pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan LKM dari Sabah dan Sarawak yang menerima notis pemberhentian itu.
Azih berkata berdasarkan maklumat diterima CUEPACS, seramai 122 orang adalah kakitangan sementara yang bertugas di beberapa lokasi di Semenanjung, Sabah (112 orang) dan seramai 48 orang lagi di Sarawak.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 94 orang ditawarkan semula sebagai pekerja sementara harian (PSH) dengan gaji RM54 sehari, namun mereka hanya diberikan tempoh bekerja selama tiga bulan bermula 14 Ogos ini.
“Saya turut merayu campur tangan kerajaan agar membantu mengatasi masalah kakitangan ini. Mereka adalah pekerja tempatan, jadi sewajarnya nasib mereka diberikan perhatian dan kalau boleh tiada pemberhentian dilakukan,” katanya.
Azih berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat makluman rasmi berhubung pemberhentian berkenaan, namun berdasarkan maklumat kakitangan terbabit mereka diberhentikan kerana proses pengambilan sebelum ini tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Selain itu, katanya beliau turut difahamkan masalah tiada peruntukan kewangan sebagai antara punca tindakan itu diambil.
“Kalau betul kewangan menjadi punca, saya merayu agar kerajaan menambah peruntukan kepada LKM supaya pekerja ini tidak diberhentikan,” katanya.
Beliau berkata CUEPACS juga akan menghantar surat kepada LKM bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan agensi itu.
Source : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/07/305265/batalkan-notis-henti-kerja-petugas-sementara-lkm-cuepacs