Bank utama Australia bocor maklumat perubatan pelanggan
5 Disember 2018 Print page
SYDNEY: Maklumat perubatan peribadi sejumlah pelanggan Commonwealth Bank Insurance (CommInsure) didedahkan kepada pekerjanya dari cawangan tidak berkaitan syarikat itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.
Siasatan badan penyiar Australian Broadcasting Corporation (ABC) menunjukkan Bank Komanwel Australia (CBA) menyedari kesilapan itu pada Julai ketika mereka bersiap sedia untuk menjual komponen perniagaan insurans pada harga AS$2.7 bilion.
“Kami mengenal pasti beberapa sistem dalaman meluas kumpulan turut memiliki akses kepada sistem dan data berkaitan CommInsure,” menurut kenyataan CBA.
Bagaimanapun bank itu berkata, masih tidak jelas bagaimana ramai orang terjejas dan sama ada maklumat terbabit sememangnya diakses oleh kakitangan cawangan tidak berkaitan syarikat itu.
Menurut CBA, ia sedang menyiasat isu itu dan telah memaklumkan kepada badan kawal selia berkaitan.
“Kami memahami sesetengah pelanggan akan khuatir mengenai akses dalaman yang dikongsi ini dan kami sedang mengambil langkah untuk memastikan akses kepada semua maklumat sensitif yang berkaitan dengan CommInsure disediakan atas dasar keperluan untuk mengetahui,” kata seorang jurucakap CBA.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/12/03/bank-utama-australia-bocor-maklumat-perubatan-pelanggan/