B40 dijangka tak perlu bayar bil air tahun depan, kata MB Selangor
5 Disember 2018 Print page
SHAH ALAM: Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) di Selangor dijangka tidak perlu membayar bil air tahun depan selepas kerajaan negeri menaikkan kadar air percuma kepada 25 meter padu sebulan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan data kerajaan negeri menunjukkan kadar purata penggunaan air bagi setiap isi rumah di Selangor antara 25 meter padu sebulan hingga 26 meter padu sebulan.
“Dengan kadar ini boleh katakan semua kelompok B40 yang menerima air percuma akan membayar 0 ringgit untuk penggunaan air mereka pada tiap-tiap bulan,” katanya semasa menggulung perbahasan usul peruntukan Pembangunan Belanjawan 2019 Selangor hari ini.
Amirudin dalam Belanjawan Selangor 2019 mengumumkan kadar air percuma dinaikkan daripada 20 meter padu sebulan kepada 25 meter padu sebulan.
Bagaimanapun, pentadbiran baharu merancang untuk tidak lagi memberikan air percuma kepada semua isi rumah di Selangor, hanya kepada golongan B40 yang berdaftar dengan program E-Kasih.
Amirudin hari ini berkata skim baharu itu tidak akan dilaksanakan pada Januari depan dan selewat-lewatnya April, kerana kerajaan negeri sedang mengkaji pendapatan golongan sasaran.
“Namun begitu kita juga boleh tengok daripada segi kawasan contohnya rumah kos rendah, kampung dan sebagainya.
“Itu semua kita akan lalui perbincangan dan saya percaya dalam sidang dewan negeri bulan 3 nanti boleh bentangkan pensejajaran air percuma yang kita nak laksanakan,” katanya.
Beliau berkata pensejajaran itu dapat mengurangkan kos kerajaan negeri sehingga RM100 juta.
“Ia tidak ada kaitan sama sekali dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) kerana kerajaan negeri tidak menggunakan sesen pun peruntukan kita untuk ambil alih Splash, sebaliknya ia diuruskan oleh penstrukturan Air Selangor,” katanya
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/12/04/b40-dijangka-tak-perlu-bayar-bil-air-tahun-depan-kata-mb-selangor/