Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Kuala Lumpur kini dihiasi dengan kain rentang bagi menyambut kedatangan delegasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan membincangkan mengenai ASEAN dan isu global sambil mereka menikmati hospitaliti ibu kota Malaysia.
‘Demam’ ASEAN turut dirasakan pelajar kolej, Zhaqri Faruq Zulkiflee, 22, dan adik lelakinya Zabir Barie, 21.
Kain rentang dan papan tanda itu mengingatkan mereka tentang sidang kemuncak yang dihoskan oleh Malaysia selaku pengerusi ASEAN, akan berlangsung dua hari lagi.
Mereka telah membaca mengenai isu yang diperkatakan ramai iaitu Komuniti ASEAN yang akan dibentuk ketika sidang kemuncak itu, dan menantikan apa yang boleh diberikan kepada lebih 600 juta populasi dari 10 negara anggota.
Zhaqri Faruq, pelajar Pengurusan di Inti College, Subang Jaya, bimbang dengan graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan dan berharap agar Komuniti ASEAN menghasilkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Bagus sekiranya kami dapat mencari pekerjaan di negara ASEAN daripada perlu mendapatkannya di rantau lain,” katanya.
Zabir Barie pula mahukan lebih integrasi dalam kalangan belia ASEAN bagi membantu mereka membina semangat kekitaan. Ini, katanya, dapat dilaksanakan dengan menganjurkan aktiviti sukan dalam kalangan belia, yang mewakili kira-kira 50 peratus populasi ASEAN.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Noor Nirwandy Mat Noordin, 39, merasakan semua negara ASEAN perlu membangunkan saluran strategik untuk belia memberikan pendapat tentang isu global dan serantau, khususnya isu-isu kepentingan ASEAN.
Beliau berkata komunikasi strategik dan penyertaan oleh ‘Gen Y’ di peringkat ASEAN akhirnya akan mendedahkan golongan muda ini sebagai duta yang berpotensi dengan wawasan global yang sama di peringkat antarabangsa.
Jeremy Chong, 26, pelajar Sarjana Undang-Undang di Universiti Malaya berkata ASEAN perlu mewujudkan satu tribunal untuk menyelesaikan masalah bersama berkaitan alam sekitar dan cetak rompak.
Baginya, setiap rantau di dunia, termasuk ASEAN bergantung kepada integrasi untuk menyelesaikan masalah bersama dengan suara yang sama di peringkat antarabangsa, memandangkan kedudukan politik dan sosial negara bergantung padanya.
Ismail Amsyar Mohd Said pula berpendapat, beliau mahu melihat Komuniti ASEAN yang boleh menyebarkan faedah dan kekayaan di rantau ini secara seimbang.
“Saya mahukan Komuniti ASEAN yang mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan,” kata pemuda berusia 29 tahun yang mengambil Sarjana Kewartawanan Dunia di University of Sheffield, United Kingdom.
Ismail Amsyar berkata anggota ASEAN perlu mengambil satu langkah ke belakang dan melihat semula perjanjian ASEAN dalam menangani jerebu rentas sempadan yang berlaku setiap tahun, yang merebak dari Indonesia ke Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata dilema yang tiada penyelesaian ini ‘seolah-olah ASEAN dilihat tidak matang dalam membetulkan isu berkenaan’.
Para pemimpin ASEAN telah mengisytiharkan Pelan Hala Tuju 2009-2015 merangkumi tiga rangka tindakan Komuniti – Ekonomi (AEC), Politik-Keselamatan, Sosio-Budaya – yang akan menjadi asas kepada Komuniti ASEAN secara keseluruhan.
Kumpulan ASEAN terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com