Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Golongan belia, terutamanya lepasan universiti perlu mengikis sikap terlalu memilih pekerjaan sekiranya mereka tidak mahu terus bergelar penganggur.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata kadar pengangguran negara sebanyak 3.2 peratus adalah tidak begitu membimbangkan, namun isunya kadar itu kebanyakannya merangkumi golongan belia.
“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu mereka memperoleh pekerjaan, namun sikap itulah yang menyebabkan generasi muda ini menganggur meskipun berkelayakan.
“Contohnya, mereka mahukan gaji lumayan tetapi kerja yang ringan, tidak sanggup untuk bekerja dari bawah untuk menimba pengalaman dan hanya menumpukan perhatian kepada pekerjaan dalam sektor kolar putih,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Shamsuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan yang mahu membantu seramai 400,000 belia yang layak bekerja namun masih menganggur di negara ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan kadar pengangguran kalangan belia di negara ini dengan membantu mencari peluang pekerjaan kepada mereka mengikut sektor bersesuaian.
Shamsuddin dalam pada itu mencadangkan agar kerajaan memberi insentif kepada sektor swasta untuk melatih graduan yang baru memasuki alam pekerjaan tetapi menganggur lebih daripada setahun.
“Latihan yang diberikan kepada graduan bukan sahaja melatih mereka menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan tetapi juga sebagai persediaan kepada mereka dalam kemahiran mengikut bidang pekerjaan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata majikan seharusnya mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Beri peluang kepada golongan belia terutamanya lepasan ijazah atau diploma yang mempunyai kemahiran teknikal untuk bekerja bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan mereka,” katanya.
Katanya, selain itu kerajaan juga perlu menggalakkan golongan belia berdaftar dengan JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja bagi memudahkan mereka memperoleh peluang pekerjaan.
“Dengan berdaftar dengan kedua-dua badan ini, mereka bukan sahaja dapat memperoleh pekerjaan dengan lebih mudah dengan bantuan kerajaan, malah turut mempunyai peluang menghadiri kempen kerjaya dan menghadiri kursus persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berpendapat kerajaan perlu mengambil serius dengan mengenalpasti lebih ramai lagi penganggur belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan memandangkan kadar pengangguran dalam golongan itu dianggar meningkat setiap tahun.
“Setiap tahun pasti ada belia yang menamatkan pengajian mereka di universiti ataupun di peringkat sekolah, serta ada yang tercicir dalam persekolahan yang menyebabkan mereka terpaksa bekerja pada usia seawal umur 15 tahun,” katanya.
Katanya bagi golongan belia lepasan sekolah yang tidak mendapat tempat di universiti, mereka digalakkan untuk mempelajari kemahiran vokasional dengan menyertai Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET).
Program TVET katanya bukan sahaja membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional kepada mereka dengan kadar yang murah malah dapat menjamin peluang pekerjaan apabila tamat kursus.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com