Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH YASMIN RAMLAN DAN RAM ANAND
Pihak berkepentingan mempersoalkan seksyen berkaitan penggajian pekerja asing dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menimbulkan kebimbangan mereka kerana ia meletakkan beberapa keperluan yang harus dipenuhi majikan yang menggunakan buruh asing.
Perjanjian antara 12 negara itu yang dijangka akan disahkan pada awal tahun depan, mengandungi bab berkaitan buruh, bertujuan menangani isu Malaysia dalam penyeludupan manusia.
Ia termasuk meletakkan beberapa syarat seperti majikan tidak dibenarkan memegang pasport pekerja, levi perlu dibayar majikan dan juga hak menubuhkan sesebuah kesatuan.
Namun, Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) berkata pengambilan pekerja domestik sudah pun dilindungi dalam perjanjian 2 hala antara kedua-dua negara.
Buat masa ini, Malaysia sedang dalam proses menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membawa masuk beratus ribu pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia.
“Persoalan saya ialah, kita sudah ada garis panduan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), adakah kita memerlukan TPPA?
“Ia sepatutnya tidak melanggar kedaulatan kita,” kata Presiden Mama Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, garis panduan yang ditekankan dalam bab buruh TPPA tidak banyak berbeza daripada apa yang diamalkan di Malaysia, tetapi menimbulkan kebimbangan tentang hak membentuk kesatuan.
“Esok, mereka boleh membentuk satu kesatuan dan meminta bekerja sebanyak 4 hari seminggu, akan menjadi perkara yang tidak mungkin untuk dilaksanakan. Saya agak bimbang tentang perkara itu.
“Anda boleh mempunyai kesatuan, tetapi kita perlu lebih terperinci dalam garis panduan tersebut. Ia terlalu umum sekarang dan boleh ditafsirkan dengan cara yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, Presiden PAPA Jeffrey Foo berkata beliau juga kurang bersetuju dengan permohonan menggaji pekerja asing sebagai pembantu rumah.
“Kategori ini tidak disebut secara khusus dan biasanya, mengambil pembantu rumah dari luar negara dilindungi di bawah persetujuan bersama memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan negara yang menghantar pekerja seperti Indonesia, Kemboja dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata sektor pembantu rumah tidak mempunyai masalah dalam mematuhi peraturan yang sudah pun diamalkan secara meluas.
Presiden Persekutuan Majikan (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan bagaimanapun menyifatkan syarat mengenakan peraturan yang ketat dengan tidak membenarkan majikan memegang pasport dan mengenakan levi adalah tidak “kondusif”.
“Terdapat majikan yang memegang pasport pekerja setelah mendapat kebenaran bertulis daripada pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata, ini merupakan faktor kad pengenalan i-Kad dikeluarkan kepada pekerja asing kerana tidak semua daripada mereka memegang pasport mereka.
“Jika pekerja asing dibenarkan memegang pasport mereka sendiri maka i-Kad tidak diperlukan, dan kerajaan perlu berhenti menghukum majikan apabila pekerja melarikan diri.
“Majikan bertanggungjawab melaporkan di imigresen mengenai pekerja yang menghilangkan diri, walaupun ia di luar kawalan mereka,” katanya.
Beliau berkata, levi perlu dibayar pekerja asing sendiri, dan bukannya majikan, kerana ia tidak adil kepada pekerja tempatan yang membayar cukai.
“Levi ialah satu bentuk cukai pendapatan. Jika istilah levi itu dilihat mengundang kepada perhatian yang tidak diperlukan, maka ubah istilah itu kepada yang boleh diterima masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau juga menggesa menamatkan penggunaan ejen dan orang tengah untuk mengambil pekerja asing, sambil menambah, pengambilan pekerja asing sepatutnya berdasarkan kepada pakatan antara kerajaan dan kerajaan.
Malaysia merupakan negara Tier 3 (tahap 3) dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara AS, sehingga ia ditingkatkan ke Tahap 2 pada tahun 2014.
Peningkatan tahap ini membolehkan Malaysia menyertai perjanjian perdagangan itu kerana undang-undang negara itu menghalangnya daripada menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara Tier 3.
Malaysia dikenalpasti sebagai hab penyeludupan manusia dan sekali lagi mendapat perhatian antarabangsa pada awal tahun ini apabila kubur besar dan kem perhambaan ditemui di dalam hutan di Wang Kelian, Perlis, selepas tindakan penguatkuasaan serantau dilakukan.
Kumpulan hak pekerja juga melaporkan buruh paksa dalam industri yang lumayan di Malaysia seperti kelapa sawit, pembinaan dan elektronik.
Pihak berkuasa AS berkata, walaupun dengan peningkatan tahap Malaysia itu, banyak lagi yang masih perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan dalam memerangi perhambaan manusia. – 17 November, 2015.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com