Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH MELATI A. JALIL
Kerajaan perlu mengurangkan jumlah pekerja asing di Malaysia dengan menghantar pulang mereka yang berlebihan dan tidak diperlukan dan bukannya mengenakan levi yang lebih tinggi untuk mengelakkan pergantungan kepada buruh asing, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata, antara mereka yang perlu awal-awal dihantar pulang ialah pekerja yang tidak mempunyai nilai tambah.
“Dulu, kita ada dasar layan diri di stesen minyak. Kini terdapat sekurang-kurangnya 5-6 pekerja asing melayan pelanggan di pam minyak, mereka buat sesuatu yang tidak ada nilai tambah.
“Jadi, bagi saya, ambil sahaja berapa banyak stesen minyak kita ada dalam negara ini, darabkan dengan lima, dan itulah nombor yang perlu kita hantar balik terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas mengenai kadar levi baru diumumkan Putrajaya yang akan menyumbang RM2.5 bilion pendapatan bagi kerajaan.
Majikan perlu membayar RM2,500 bagi setiap pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, dan RM1,500 dalam sektor perladangan dan pertanian. Malaysia mempunyai 2.1 juta pekerja asing berdaftar.
Shamsuddin berkata tempoh peralihan kepada berdikari dalam tenaga buruh memerlukan pendekatan yang lebih holistik dengan membangunkan tenaga kerja tempatan bagi mendapatkan kemahiran yang diperlukan yang kini dimiliki pekerja asing.
Putrajaya juga tidak seharusnya menggunakan levi pekerja asing sebagai sumber pendapatan, katanya, sebaliknya harus melihat kepada menggunakannya untuk pembangunan kemahiran pekerja tempatan.
“Kutipan RM2.5 bilion dalam pendapatan negara dianggap agak menyimpang dalam erti kata kerajaan tidak sepatutnya melihat levi sebagai sumber pendapatan.
“Kerana dari segi prinsipnya, levi itu perlu masuk semula ke dalam industri supaya ia boleh digunakan untuk latihan semula dan penskalaan tenaga kerja sedia ada,” katanya.
Pekerja mahir rakyat Malaysia hanya 28% peratus daripada tenaga kerja; masih rendah dari sasaran 35% pada 2020, katanya, sambil menambah, tidak banyak yang sedang dilakukan untuk meningkatkan jumlah ini dan memperbaiki tahap kemahiran mereka.
“Jika kerajaan benar-benar serius dalam mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, maka mereka harus menyediakan pasaran buruh untuk itu.
“Latih pekerja tempatan kita, beri mereka lebih banyak kemahiran, berikan sijil untuk kemahiran mereka supaya mereka boleh menjadi lebih produktif,” katanya.
Beliau tidak bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang berkata, kadar baru itu perlu dilihat secara positif sebagai 1 cara mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.
“Jika anda mahu mengurangkan tenaga kerja (asing), jangan jadikan kos mengambil pekerja asing lebih mahal,” kata Shamsuddin.
“Kekalkan kos pengambilan pekerja, tetapi perkenalkan 1 skim yang pada masa sama, kita bangunkan pasaran buruh kita untuk menjadi lebih mahir dan lebih produktif.”
Beliau berkata, majikan di sektor swasta tidak lagi mampu menyerap kenaikan levi itu kerana iklim ekonomi semasa.
“Kerajaan berharap dengan memperkenalkan dasar gaji minimum dan membuat (levi pekerja asing) lebih mahal, maka majikan tidak bergantung kepada pekerja asing, ini saya fikir 1 dasar yang sangat simplistik.”
Meningkatkan bilangan pekerja tempatan
Shamsuddin mengulangi hujahnya sebelum ini, Malaysia akan mempunyai tenaga kerja tempatan yang mencukupi jika penyertaan wanita dalam tenaga kerja meningkat kepada sekurang-kurangnya 60%.
Kadar semasa ialah 53% mengikut laporan media, walaupun Shamsuddin berkata, ia lebih menghampiri 48%.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam berkata, struktur gaji pekerjaan dalam kategori “sukar, kotor dan berbahaya”, seperti pembinaan, perlu diselaraskan jika mahu rakyat Malaysia melakukan pekerjaan itu.
“Sebagai contoh, pekerjaan 3D ini, anda tidak boleh memberi mereka gaji yang sama seperti dalam sektor lain, anda perlu memberikan mereka gaji lebih tinggi,” katanya, sambil menyatakan, ramai rakyat Malaysia melakukan kerja dalam kategori ini di Singapura.
“Isunya ialah gaji yang bagus. Jika majikan membayar gaji yang bagus, pekerja Malaysia sanggup buat kerja itu di sini. “
Gopal Kishnam berkata, langkah mengenakan levi pekerja asing yang lebih tinggi sudah banyak kali wujud dalam perancangan kerajaan.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low bertemu MTUC pada 26 Januari untuk membincangkan isu berkaitan dengan pekerja asing, termasuk pekerja asing tanpa izin.
Gopal Kishnam mencadangkan, syarikat yang mempunyai pekerja asing sehingga 90% daripada tenaga kerja mereka perlu memindahkan operasi mereka ke negara lain.
“Mungkin mereka boleh memindahkan operasi mereka ke negara mereka memperolehi pekerja asing, misalnya, jika mereka mendapat pekerja asing dari Nepal, pindahlah kilang ke Nepal.
“Malaysia tidak mendapat apa-apa, setiap bulan mereka kirim wang dalam jumlah yang besar ke negara mereka,” katanya. – 6 Februari, 2016.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com