Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Mengikut takrifan polisi gaji minimum yang dikeluarkan oleh "International
Labour Organization" atau ILO, gaji minimum adalah satu amaun minimum yang
ideal, yang harus dibayar oleh majikan kepada pekerjanya bersesuaian dengan keperluan
minimum harian seseorang pekerja dan keluarganya. Kadar gaji minimum juga haruslah
selari dengan keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara. Bayaran yang
dibuat adalah mengikut kadar kiraan bulanan, harian atau jam. Kira-kira lebih
90% negara di seluruh dunia mengamalkan dasar gaji minimum yang bersesuaian dengan
sistem ekonomi negara masing-masing. Ada di antaranya telah menguatkuasakan dasar
gaji minimum seawal tahun 1900-an. Negara Australia umpamanya telah menguatkuasakan
dasar gaji minimum seawal 1904, manakala negara Amerika Syarikat pula telah memperkenalkan
dasar gaji minimum sejak tahun 1938. Dasar gaji minimum ini bukan sahaja diterimapakai
di negara-negara maju, malahan ia turut dilaksanakan di negara-negara dunia ketiga
seperti Korea Selatan dan Sri Lanka.

Terdapat pelbagai kebaikan sekiranya
dasar gaji minimum yang ideal dan manusiawi dapat dikuatkuasakan. Jika diukur
daripada takrifan gaji minimum yang dikeluarkan oleh ILO, ia dengan jelas menunjukkan
bahawa dasar gaji minimum merupakan salah satu kunci bagi menangani masalah kemiskinan
serta dapat meningkatkan pendapatan bagi pekerja yang bergaji rendah. Ini secara
tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang pekerja dan keluarganya.

Dasar ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pekerja semata-mata, malahan
ia juga memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Ini
adalah kerana dasar gaji minimum boleh meningkatkan kuasa beli dan kadar belanjawan
pekerja. Sebagai contoh, pekerja yang berpendapatan rendah sebelum ini, dapat
memperuntukkan gajinya untuk berbelanja dan bercuti bersama keluarga. Selain itu,
kebergantungan pekerja terhadap kerajaan juga akan berkurangan bilamana dengan
pendapatan yang sesuai dengan keadaan semasa ekonomi serta sosial negara, maka
pekerja dapat mengatasi beban kewangan yang ditanggung serta tidak bergantung
kepada dasar kebajikan kerajaan semata-mata. Kesannya, pihak kerajaan mempunyai
peruntukan dana yang lebih untuk disalurkan kepada sektor yang lebih mendesak
serta memerlukan.

Dari perspektif hak asasi manusia pula, Perkara 23 Perisyitiharan
Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) menyatakan, setiap orang tanpa sebarang
pembezaan, adalah berhak kepada penggajian yang sama bagi kerja yang sama. Semua
orang juga berhak kepada saraan yang adil dan berfaedah yang dapat memastikan
diri dan keluarganya mendapat suatu kehidupan yang wajar dan manusiawi. Justeru,
dalam konteks pekerja asing umpamanya, pelaksanaan gaji minimum dapat mengelakkan
eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang amat rendah kepada pekerja
asing seperti yang berlaku pada masa ini. Secara tidak langsung, gaji yang adil
dan saksama juga menjamin seseorang pekerja itu dapat memenuhi tuntutan keperluan
asasnya yang lain seperti hak terhadap tempat kediaman yang wajar, hak untuk berehat
dan berekreasi serta hak kepada kemudahan kesihatan dan jaminan sekuriti sosial,
ini semua merupakan hak asasi setiap individu yang harus dijamin serta dilindungi
oleh sesebuah negara.

Sungguhpun dasar gaji minimum ini dikatakan banyak
membawa kesan positif, terdapat juga beberapa pihak yang membantah perlaksanaan
dasar ini. Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) umpamanya, berpendirian bahawa penetapan
gaji para pekerja di sektor swasta berkait rapat dengan prestasi syarikat. Pastinya,
bagi sesebuah syarikat korporat, produktiviti serta keuntungan syarikat merupakan
aspek utama yang mempengaruhi kadar penetapan gaji kakitangan mereka. Sungguhpun
demikian, adakah wajar sekiranya atas dasar produktiviti dan prestasi, maka pengawal
keselamatan umpamanya diberi ganjaran gaji serendah RM400 di sesetengah syarikat
swasta? Bagaimanakah 10.3 juta rakyat malaysia yang bekerja di sektor swasta berupaya
menampung kehidupan mereka sedangkan mereka ini tidak diberikan kadar pendapatan
yang manusiawi dan wajar? Bukankah ini akan hanya membunuh produktiviti para pekerja
serta menurunkan minat pekerja untuk menyertai sektor swasta di negara ini. Sepertimana
kenyataan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar
baru-baru ini di dalam media, para majikan perlulah sensitif kepada para pekerjanya
terutama sekali dengan mereka yang terlibat dengan pekerjaan yang berbahaya, kotor
dan sukar.

Perjuangan bagi merealisasikan dasar gaji minimum di negara
ini adalah satu perjuangan yang besar dan panjang. Ia tidaklah hanya melibatkan
pihak yang memberi dan merima gaji semata-mata. Ia melibatkan pelbagai pihak.Pihak
yang bertanggungjawab seperti MTUC yang mewakili kelompok besar kelas pekerja
haruslah memainkan peranan yang aktif dalam memperjuangkan kempen-kempen gaji
minimum. Bagi memperjuangkan satu amaun gaji minimum yang ideal, MTUC sebagai
contoh, haruslah melihat dan mempertimbangkan dasar ini dari pelbagai sudut. Kajian
yang terperinci mestilah dilakukan sebelum mengadakan sebarang tuntutan. Hasil
dari perbincangan saya bersama wakil UNISON, Dave Watson, di Scotland beberapa
bulan yang lalu, beliau memberitahu bahawa perjuangan bagi merealisasikan tuntutan
dasar gaji minimum di United Kingdom ini telah mengambil masa selama lebih sepuluh
tahun. Ini termasuklah usaha meningkatkan kefahaman pimpinan kesatuan sekerja
serta akar umbi mengenai kepentingan serta cabaran-cabaran dalam melaksanakan
dasar gaji minimum. Kempen mengenai kepentingan dasar gaji minimum mestilah dilakukan
secara konsisten dan haruslah tersebar kesemua lapisan masyarakat. Beliau juga
menegaskan bahawa kajian-kajian yang terperinci haruslah dilakukan dengan melibatkan
pelbagai pihak. The Scottish Low Pay Unit (SLPU), sebuah organisasi independen,
merupakan antara penggerak utama usaha melobi pelaksanaan gaji minimum di sana
bilamana organisasi ini telah melahirkan kajian-kajian penting yang mengaitkan
isu gaji pekerja yang rendah dengan kadar kemiskinan di Scotland, lantas mengukuhkan
lagi gerakan memperjuangkan dasar gaji minimum di Scotland.

Perundingan
serta perbincangan yang serius bersama pakar-pakar ekonomi dan golongan intelektual
serta akademik juga haruslah dilakukan bagi memutuskan satu anggaran siling pendapatan
yang ideal bagi seseorang pekerja. Tidak hanya dengan meletakkan suatu kadar gaji
minimum secara sembrono, perbincangan ini mestilah turut meliputi aspek-aspek
yang lebih luas seperti kos sara hidup mengikut kedudukan demografi, pecahan guna
tenaga mengikut kemahiran, umur dan faktor-faktor lain yang relevan.Ini adalah
supaya sebarang syor mengenai dasar gaji minimum dapat diperkukuhkan agar berupaya
meyakinkan pihak kerajaan bahawa dasar ini sememangnya wajar dan diperlukan di
Malaysia. Perundingan dan perbincangan bersama pihak kerajaan pula mestilah dilakukan
dengan aktif dan berterusan.

Dasar gaji minimum tidak dapat lari dari aspek
perundangan. Matlamat pelaksanaan dasar gaji minimum ini mestilah direalisasikan
melalui penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan. Peruntukan mengenai pembayaran
gaji yang terkandung di dalam Akta Pekerja 1955 haruslah dikaji serta dipinda.
Dasar gaji minimum ini pula mestilah digubal menjadi satu akta Parlimen. Adalah
diharapkan agar kesatuan sekerja dapat berbincang bersama badan undang-undang
seperti Majlis Peguam umapamanya, ke arah melahirkan dasar gaji minimum yang berkesan
dari sudut perundangan. Dalam hal ini, inisiatif yang diambil oleh gerakan wanita
merangka rang undang-undang alternatif bagi menangani gangguan seksual sebagai
salah satu strategi untuk melobi penggubalan undang-undang gangguan seksual, bolehlah
dicontohi oleh golongan pekerja dalam meneruskan usaha menggesa kerajaan melaksanakan
dasar gaji minimum.

Agenda dasar gaji minimum mestilah disebar secara aktif
di segenap lapisan pekerja. Setiap hasil perbincangan yang dipersetujui mestilah
disebarluas melalui penulisan di media. MTUC dan badan-badan lain harus bijak
mendapatkan ruang di dalam media cetak dan elektronik bagi menyebarkan agenda
dasar gaji minimum ini. Kesatuan sekerja yang bernaung di bawah MTUC pula haruslah
menyebarkan kepada semua pekerja mengenai dasar gaji minimum dengan menggunakan
bahasa yang mudah difahami. Bagi pekerja yang tidak mempunyai kesatuan pula, mereka
ini tidak harus dipinggirkan dan menjadi tugas MTUC untuk menyebarkan agenda ini
kepada golongan tersebut. Ini adalah bagi memastikan perjuangan menuntut dasar
gaji minimum di Malaysia tidak hanya dipelopori oleh pimpinan atasan kesatuan
sekerja semata-mata bahkan perjuangan ini haruslah menyeluruh dan melibatkan semua
lapisan pekerja.

Kesimpulannya, adalah menjadi satu anugerah yang tidak
ternilai untuk para pekerja di negara ini jika dasar gaji minimum dapat dikuatkuasakan
oleh kerajaan. Namun begitu, bagi memastikan dasar ini tidak menjadi edisi "tangkap
muat" terbaru kerajaan, penguatkuasaan gaji minimum haruslah berteraskan
dasar yang melindungi hak pekerja dengan mekanisme penguatkuasaan yang adil dan
telus. Pelaksanaan dasar gaji minimum di Malaysia mampu mencatat satu sejarah
penting dalam gerakan pekerja seterusnya menjadi nadi penting kepada perjuangan
pekerja yang seterusnya.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com