Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) — Penyeragaman kadar gaji minimum di seluruh negara akan dilaksanakan selepas klausa baharu seperti bayaran gaji harian dimuktamadkan oleh Majlis Perundangan Gaji Negara (MPGN).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata perkara tersebut akan dibincangkan oleh anggota MPGN yang baharu susulan persetujuan kerajaan untuk mengekalkan perbezaan gaji minimum antara wilayah dan mengurangkan jurang perbezaan gaji minimum antara wilayah.
“Saya yakin dalam masa terdekat satu kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara dapat dilaksanakan juga.
“Beberapa klausa baharu seperti gaji minimum kepada pekerja yang dibayar gaji harian dan yang dibayar gaji “piece-rated” dan yang berkaitan akan diurus tadbir dalam perintah yang baharu kelak,” katanya di majlis penyampaian watikah pelantikan anggota MPGN yang baharu, di sini Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Saripuddin Kassim.
Seramai 20 anggota baharu MPGN dilantik bagi tempoh dua tahun bermula 1 Okt hingga 30 Sept 2017 dengan diketuai oleh Pengerusinya Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Mereka akan membincangkan dasar gaji minimum dengan mengambil kira kepentingan nasional kerana ia merupakan satu ‘policy intervention’ yang amat diperlukan ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 pada Jumaat lalu mengumumkan penetapan kadar gaji minimum baharu iaitu RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, berkuat kuasa 1 Julai tahun depan.
Kerajaan juga telah bersetuju untuk mengekalkan perbezaan gaji minimum antara wilayah dan mengurangkan jurang perbezaan gaji minimum antara wilayah daripada RM100 sebulan kepada RM80.
Sementara itu, di dalam sidang media, Shim berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan terhadap 72,000 syarikat dan mendapati 99 peratus daripada mereka mematuhi syarat-syarat gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.
Pengarah Eksekutif Persatuan-Persatuan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan pula berkata kenaikan kadar gaji minimun itu dapat membantu menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan di dalam pelbagai sektor industri yang dikuasai buruh asing bagi mengurangkan pengeluaran ringgit ke luar negara.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com