Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menyerahkan memorandum kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya mengambil semula 40 pekerja KTMB yang dipecat baru-baru ini.
Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Krihsnam yang menyerahkan memorandum itu berkata, tindakan KTMB memecat pekerja mereka yang terlibat dalam piket pada Mei lepas adalah sesuatu yang tidak wajar.
Katanya, kesemua pekerja terlibat itu adalah anggota Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (RUM) dan tindakan itu dilihat sebagai mencabuli hak bersuara pekerja.
“Tindakan KTMB adalah satu kesalahan dan bertentangan dengan Perjanjian Bersama dan Akta Perhubungan Perusahaan (Akta 177) kerana telah mengambil tindakan tatatertib terhadap pemimpin dan anggota kesatuan yang melakukan aktiviti kesatuan sekerja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
Memorandum itu diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad di ibu pejabat KTMB di sini.
Pada 9 Mei lepas, kira-kira 700 pekerja KTMB berhimpun di hadapan ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut perkhidmatan Presiden KTMB Datuk Elias Kadir ditamatkan.
Lanjutan dari piket berkenaan, 110 pekerja yang juga ahli RUM diberikan surat tunjuk sebab manakala 40 daripadanya termasuk Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan dikenakan tindakan buang kerja dua minggu lepas.
“Kita percaya akan lebih ramai yang menerima surat tunjuk sebab akan menerima nasib yang sama,” katanya.
Gopal Krishnam berkata jika pengurusan KTMB masih enggan melayan tuntutan mereka, MTUC akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen pada 7 Oktober ini.
Sementara itu, Abdul Razak ketika ditemui berkata piket berkenaan diadakan bagi meluahkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Elias yang disifatkan sebagai lemah sehingga prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu merosot.
“Ia (kelemahan pengurusan) juga dikhuatiri mengancam kedudukan kami sebagai pekerja, tetapi bila kami menyuarakannya, kami pula dipecat, ini adalah tidak adil,” katanya. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com