Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
JOHOR BAHARU, 4 Sept (Bernama) — Kementerian Sumber Manusia hari ini mencadangkan syarikat atau kilang yang mempunyai tenaga kerja asing supaya mewujudkan jawatankuasa bersama antara majikan dan pekerja.
Menteri berkenaan Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata langkah itu penting bagi menjaga kebajikan kira-kira 1.6 juta pekerja asing sah, selain mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka sehingga mencetuskan rusuhan.
“Kilang-kilang disarankan melantik seorang penyelia dalam kalangan pekerja asing itu bagi memudahkan urusan antara majikan dan pekerja…contohnya setiap 500 atau 1,000 orang pekerja rakyat Nepal, seorang penyelia disyorkan dilantik dalam kalangan mereka,” katanya.
Riot berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kilang dan asrama pekerja syarikat kilang pengeluar komponen komputer JCY HDD Technology Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Tebrau IV, di sini, Khamis.
Hadir sama Duta Nepal ke Malaysia Dr Niranjan Man Singh Basnyat dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyananthan.
Pada 26 Ogos lepas, kira-kira 800 pekerja asing mogok di cawangan kilang JCY HDD Technology Sdn Bhd di Kelapa Sawit, dekat Kulaijaya, termasuk membakar kereta seorang pengurus kilang dan merosakkan bangunan kilang.
Kejadian itu berlaku dipercayai akibat rasa tidak berpuas hati pekerja terbabit terhadap majikan yang dikatakan mengabaikan kebajikan mereka.
Ekoran itu, difahamkan seramai 55 pekerja asing terbabit ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan kerana merusuh.
Riot berkata beliau berpuas hati selepas mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan JCY HDD Technology Sdn Bhd berhubung kejadian itu dan langkah yang ditangani bagi mengelak kejadian berulang.
Beliau berkata kementerian itu memandang serius kejadian yang berlaku dan berharap ia membuka mata semua pihak, terutama majikan, bagi menjamin keselamatan pekerja dan negara.
“Kementerian berterima kasih atas kerjasama Kedutaan Nepal dalam menangani kes ini, termasuk mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 4,000 pekerja Khamis bagi memberikan suntikan semangat dan menasihatkan mereka supaya mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.
Beliau turut memuji kecekapan pihak polis dalam mengawal kejadian itu sekali gus membolehkan kilang beroperasi semula seperti biasa. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com