Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) — Kementerian Sumber Manusia menyasarkan untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja kepada 2.58 kes bagi setiap 1,000 pekerja di seluruh negara menjelang tahun depan, kata menterinya Datuk Richard Riot.
Beliau berkata komitmen kerajaan dalam soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) telah menaikkan imej Malaysia dengan begitu baik apabila kementerian dapat mencapai sasaran tiga kes bagi setiap 1,000 pekerja tahun ini.
“Sasaran kita adalah untuk mengurangkan jumlah kemalangan di tempat kerja selaras dengan penanda aras antarabangsa iaitu dua kes bagi setiap 1,000 pekerja menjelang 2020.
“Saya percaya kita boleh mencapai sasaran itu berdasarkan program yang diadakan setiap tahun bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) ke-18 di sini hari ini.
Lebih daripada 1,500 perwakilan dari sektor awam dan swasta menyertai persidangan tiga hari bertemakan ‘Memupuk Budaya OSH di Tempat Kerja’ anjuran Institut bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh). Turut hadir pengerusi Niosh Tan Sri Lee Lam Thye.
Riot berkata statistik menunjukkan kadar kemalangan industri menurun kepada 3.1 kes pada 2014 bagi setiap 1,000 pekerja berbanding 5.84 kes pada 2004.
“Penurunan ini merupakan satu gambaran bagi komitmen dan usaha sama oleh kerajaan, majikan dan pekerja bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.
Tahun lepas, Malaysia mencatatkan 573 kematian akibat kemalangan di tempat kerja, katanya sambil menambah 27 kematian direkodkan setakat Jun tahun ini berbanding 72 dalam tempoh yang sama tahun lepas dalam sektor pembinaan.
Memandangkan cabaran besar adalah bagi terus mengurangkan kadar kemalangan dan memupuk OSH sebagai budaya di tempat kerja, Riot berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Niosh Amerika Syarikat dan akan menandatangani memorandum persefahaman tidak lama lagi bagi meningkatkan amalan OSH.
Sementara itu, Lee berkata Niosh memainkan peranannya bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan pihak industri berhubung keperluan mematuhi dan menerima pakai amalan keselamatan di tempat kerja.
“Pada tahun akan datang, kami akan mempergiatkan aktiviti-aktiviti dan program-program kami untuk memberi tumpuan kepada penyediaan latihan, perundingan, menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta penyebaran maklumat kepada penggiat industri,” katanya.
Sebanyak 5,265 program latihan telah dijalankan bagi pelbagai industri di ibu pejabat Niosh dan pejabat wilayah di seluruh negara tahun lepas, katanya sambil menambah usaha memupuk budaya OSH perlu bermula dari sekolah bagi membolehkan para pelajar mempunyai asas yang kukuh mengenai OSH.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com