MAS kembali ke AS, Perancis
23 March 2018 Print page
SEPANG 22 Mac – Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) berkemungkinan menyambung semula laluan penerbangan ke Amerika Syarikat dan Perancis tetapi menumpukan kepada Asia Pasifik dalam masa terdekat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Kapten Izham lsmail berkata, langkah tersebut merupakan sasaran pihaknya untuk memperkukuhkan operasi syarikat antara empat hingga lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dengan merangkumi pelbagai sektor termasuk jumlah pesawat.
“Buat masa kini, kita telah menambah empat laluan ke China, antaranya ke Nanjing dan Haikou serta menyambung semula penerbangan ke Surabaya untuk menarik trafik umrah dan haji dari Indonesia.
“Selain itu, kami telah menambah penerbangan ke Seoul, Korea Selatan dan akan menyambung semula laluan ke Brisbane, Australia pada Jun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen penjenamaan MAS di Golden Lounge MAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
lzham berkata, slogan terbaharu MAS iaitu Malaysian Hospitality Begin With Us adalah antara satu langkah untuk mengembangkan dan menambahbaik penjenamaannya selaku syarikat penerbangan nasional.
Sepanjang 112 hari beliau mengetuai MAS, banyak perkara yang perlu dilakukan dalam mempertingkatkan potensi semula syarikat seperti dimahukan oleh setiap rakyat Malaysia.
Ujarnya, bukan mudah menggalas cabaran untuk menstabilkan semula MAS dan kini ia telah berada di landasan betul seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan MAS.
“Selain daripada laluan penerbangan, kami baru-baru ini menerima kehadiran pesawat baharu, Airbus 350-XWB dan menambah baik operasi bawahan termasuk mengubah suai Golden Lounge dengan menampilkan wajah baharu dan kapasiti lebih luas.
“Bagaimanapun saya ingin menyatakan bahawa MAS bukan milik sesiapa mahu pun warga kerjanya, tetapi ia milik rakyat Malaysia, maka slogan baharu itu sesuai dengan matlamat ini,” katanya.
Selain itu, Izham memaklumkan, beliau akan melihat semula cadangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik.
Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan lanjut setelah meneliti kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi di Parlimen, baru-baru ini.
“Kemungkinan ia ditetapkan mengikut tempoh tertentu seperti musim perayaan atau percutian sekolah, tetapi saya perlu melihat perkara ini terlebih dahulu,” katanya.
Source : http://m.utusan.com.my/bisnes/korporat/mas-kembali-ke-as-perancis-1.633269#.WrRgecPlQ94.twitter