Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar
LOS ANGELES, 15 Okt (Bernama) — Malaysia membuat rayuan kepada Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) untuk mengeluarkan minyak sawit negara daripada ‘Senarai Barangan Dihasilkan Menggunakan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa’, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Antara kriteria yang digunakan jabatan itu untuk menilai buruh kanak-kanak atau buruh paksa ialah menyimpan pasport pekerja asing dan pembayaran gaji yang rendah, katanya.
“Kerajaan telah melaksanakan satu kajian bebas, meliputi 68 ladang di seluruh negara, dan ia menunjukkan kejadian sedemikian adalah kecil.
“Justeru, tidak adil untuk jabatan itu menyenaraikan industri minyak sawit Malaysia dengan yang lain,” katanya.
Uggah berkata demikian dalam ucaptamanya pada Forum Minyak dan Lelemak Dunia (GOFF) 2015, di sini pada Rabu.
Beliau juga berkata Malaysia telah melaksanakan struktur gaji minimum sejak Januari tahun ini dan kerajaan akan terus memastikan kebajikan pekerja asing dalam sektor perladangan dengan majikan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang domestik.
“Ini antara kriteria dalam proses pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.
MSPO yang baru dilaksanakan itu bertujuan memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan.
Mengenai rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan, Uggah yakin bahawa perdagangan minyak sawit dengan AS akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
Beliau berharap pengguna AS akan meningkatkan penggunaan produk minyak sawit berikutan ia berkhasiat, sihat dan kompetitif dari segi harga.
“Manfaatnya terbukti melalui kajian oleh institusi penyelidikan bebas di luar negara dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Malaysia.
“Penemuan penyelidikan dan pembangunan oleh MPOB bersama rakan penyelidiknya meraih pengiktirafan daripada pengamal penyelidikan antarabangsa,” kata Uggah.
Terkini adalah artikel yang diterbitkan oleh Nature, sebuah jurnal terkemuka, mengenai sifat-sifat epigenetik kelapa sawit yang ditemui kumpulan penyelidik MPOB.
“Hari ini, berikutan kesan asid trans-lemak daripada minyak terhidrogenasi, minyak sawit jadi perhatian sebagai penyelesaian global bagi formulasi makanan bebas trans.
“Kami menyahut cabaran dan kemasukan minyak sawit sebagai bahan penting dalam formulasi bebas trans adalah ketara,” kata Uggah.
Beliau berkata pengamal minyak sawit Malaysia bersedia menyalurkan pengetahuan dan kepakaran kepada rakan-rakan di AS, dan pengguna lain di rantau ini.
Uggah mengetuai Misi Penggalakkan Minyak Sawit ke AS selama dua hari mulai 14 Okt.
Delegasi beliau terdiri daripada wakil kementerian, MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan wakil sektor swasta, bertujuan mengukuhkan eksport minyak sawit ke AS, selain menggalakkan hubungan perniagaan antara sektor swasta di Malaysia dan rakan mereka di AS.
Acara GOFF selama dua hari itu merupakan anjuran bersama MPOC dan MPOB.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com