Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUCHING, 2 Feb (Bernama) — Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu majikan-majikan sektor perladangan yang mengaji pekerja asing supaya menyediakan tempat tinggal untuk mereka di kawasan ladang.
Beliau berkata majikan tidak dibenar menempatkan pekerja asing di rumah sewa di kawasan bandar untuk mengelak pelbagai masalah sosial.
Selain itu, majikan dan agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen juga diminta sentiasa memantau pergerakan pekerja asing, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada wakil kerajaan negeri Sarawak, pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, pengarah Jabatan Buruh dan wakil PDRM di sini, Isnin berhubung perancangan kerajaan negeri Sarawak membawa masuk 12,000 pekerja Bangladesh untuk bekerja di sektor perladangan negeri ini.
Wan Junaidi berkata majikan juga mesti membayar gaji minimum kepada pekerja asing seperti ditetapkan kerajaan dan tidak menganiaya pekerja mereka.
“Majikan juga mesti memastikan pekerja tidak melarikan diri dan bekerja di tempat lain,” katanya.
Mengenai taklimat itu, Wan Junaidi berkata beliau berpuas hati dengan persiapan dan garis panduan pekerja asing yang disediakan kerajaan negeri Sarawak.
Menurutnya rekod Jabatan Imigresen setakat ini menunjukkan seramai 139,761 pekerja asing bekerja di Sarawak.
“Selain itu, majikan juga harus memastikan pekerja yang tamat tempoh bekerja supaya segera pulang ke negara masing-masing kerana kita tidak mahu mereka menjadi pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya.
Mengikut Ordinan Buruh Sarawak, setiap pekerja asing hanya diberi tempoh permit selama lima tahun untuk bekerja di negeri ini dan boleh diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi jika diperlukan.
Ketika ditanya bagaimana kerajaan boleh memastikan pekerja asing yang dibawa masuk ke negeri ini bebas penyakit berjangkit dan bukan penjenayah, pengganas, banduan dan bekas banduan, Wan Junaidi berkata Bangladesh mempunyai agensi yang membuat saringan.
“Pihak berkuasa negara ini juga bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) untuk melakukan saringan,” katanya.
Sementara itu Wan Junaidi berkata kerajaan negeri Sarawak tetap memberi keutamaan pekerjaan sektor perladangan kepada penduduk tempatan. Beliau berkata ini kerana garis panduan sedia ada menetapkan syarikat yang ingin menggaji pekerja asing perlu memiliki minimum 30 peratus pekerja tempatan.
“Kerajaan negeri berhasrat untuk menaikkan nisbah itu kepada 50 peratus atau lebih daripada itu. Ini amat penting bagi rakyat negeri ini,” katanya.
Menurutnya setiap majikan yang mahu menggunakan khidmat pekerja asing perlu mengiklankan jawatan itu untuk diisi pekerja tempatan.
Namun, beliau berkata penduduk tempatan kurang berminat bekerja dalam sektor perladangan dan pembinaan yang dianggap pekerjaan yang kotor dan berbahaya.
“Itu sebabnya kerajaan terpaksa akur dan memerlukan pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam sektor perladangan memandangkan penting untuk kita membangunkan ekonomi,” katanya.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com