Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH EILEEN NG
Lebih banyak bukti perlu dikemukakan bagi menunjukkan berlaku penggunaan pekerja bawah umur di sektor minyak sawit tempatan, menurut Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW), sebagai menjawab senarai barangan hasil buruh paksa dan kanak-kanak di Malaysia oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat.
Setiausaha Kerja NUPW A Navamukundan berkata sektor minyak sawit tempatan di mana kanak-kanak bekerja selalunya merupakan kebun tanaman sawit kecil dimiliki keluarga, dan mereka membantu pada masa lapang.
Katanya, ini tidak menjadikan mereka buruh kanak-kanak, merujuk kepada senarai dikeluarkan pada 1 Disember oleh Biro Hal-Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) di bawah Jabatan Buruh AS.
“Sepanjang pengalaman saya, kanak-kanak ini membantu dan saya tidak fikir mereka dieksploitasi. Pada saya, ia sebahagian sikap solidariti keluarga dengan membantu meringankan beban.
“Sama juga dalam perniagaan lain seperti kebun sayur atau warung makan, di mana kanak-kanak membantu ibu bapa mereka pada musim cuti, namun ia pastinya bukan tergolong sebagai buruh paksa atau kanak-kanak,” katanya.
Katanya, di ladang kecil milik keluarga, kanak-kanak berumur antara 10 dan 15 tahun biasanya membantu ibu bapa mereka mengumpul buah kelapa sawit dan kebun lazimnya bersaiz kurang 4 hektar.
Menurut statistik 2011 Lembaga Minyak Sawit Malaysia, 61% daripada tanah kelapa sawit dengan jumlah keluasan 5 juta hektar di Malaysia, iaitu pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, terdiri daripada kebun kecil persendirian.
Manakala di Sabah dan Sarawak, kawasan sempadan panjang dan tidak terkawal bersama Indonesia juga membolehkan penduduk Kalimantan menyeberang bekerja di ladang sawit, biasanya bersama anak mereka, kata Navamukundan.
Katanya, konglomerat minyak sawit tidak akan mengambil risiko menggaji kanak-kanak kerana mereka perlu mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan menanggung risiko liabiliti sekiranya apa-apa berlaku.
Minyak sawit Malaysia muncul dalam senarai terkini barangan yang dihasilkan menerusi buruh kanak-kanak, iaitu sebahagian laporan dua kali setahun ILAB kepada Kongres AS.
Di bawah pindaan Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan AS (TVPRA) 2005, senarai tersebut diperlukan bagi memantau dan melaporkan pemerdagangan manusia bagi tujuan buruh paksa.
Satu kenyataan Jabatan Buruh AS menyenaraikan minyak sawit Malaysia sebagai antara barangan terbaharu dalam senarai tersebut.
Menurut ILAB, tumpuannya adalah maklumat mengenai kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Ia mentakrifkan “buruh kanak-kanak” sebagai hasil kerja seseorang berumur di bawah 15 tahun dan mempunyai persamaan dengan perhambaan dan aktiviti haram, serta membahayakan “moral, kesihatan dan keselamatan kanak-kanak”.
Katanya, senarai itu diperolehi berdasarkan data umum yang terdapat dalam “sumber utama dan sampingan yang boleh didapati umum”, termasuk data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lawatan tapak oleh ILAB dan pegawai kerajaan Amerika, kaji selidik kebangsaan dan maklumat dikumpul institutsi akademik dan badan bukan kerajaan.
“Bagi memastikan ketelusan, senarai kami disediakan dengan menggunakan maklumat yang didapati umum,” kata Drake Weisert, jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur, kepada The Malaysian Insider.
Maklumat berdasarkan senarai rujukan laporan media tempatan dan luar negara, laporan kedutaan AS di Kuala Lumpur, di samping yang disediakan pertubuhan hak pekerja asing, Tenaganita.
Navamukundan berkata maklumat dalam senarai tersebut perlu lebih diperincikan dan bukan hanya menggolongkan Malaysia berdasarkan syarat umum.
“Mereka perlu menjelaskan keadaan di mana buruh kanak-kanak bekerja dalam industri ini, lokasinya, sama ada lebih ramai lelaki daripada perempuan, dan hak kemanusiaan sejagat yang diabaikan,” katanya.
Weisert bagaimanapun berkata, dengan memasukkan Malaysia ke dalam senarai TVPRA itu tidak bermakna mengundang sekatan.
Katanya, tujuan utama senarai itu bagi memberi kesedaran awam mengenai buruh paksa dan bawah umur dan bagi menggalakkan usaha ke arah menanganinya.
“Senarai itu bukan berniat menghukum, tetapi sebagai permulaan tindakan individu dan kolektif.
“Antara tindakan yang paling membina boleh diambil sesebuah syarikat bila sektor mereka dilaporkan bermasalah, adalah menilai strategi pencegahan dan pemulihan mereka, dan berkongsi dengan syarikat lain serta kepada umum mengenai langkah diambil, termasuk amalan terbaik,” katanya.
Weisert berkata, senarai itu juga bagi menjelaskan masalah global dan membantu penggubalan dasar, bantuan pembangunan dan amalan niaga.
“Kerajaan menggunakan ia sebagai peluang mendapatkan sokongan dalam usaha membanteras buruh paksa dan kanak-kanak, termasuk dalam meminta bantuan teknikal di mana ia paling perlu.
“Syarikat pula menggunakan ia dalam penilaian risiko dan uji tuntas ke atas hak pekerja dalam rantaian bekalan mereka.
“Pertubuhan sivil menjadikan ia alat memberi kesedaran, di samping menggalak dan memberikan maklumat mengenai usaha menangani buruh paksa dan kanak-kanak di serata dunia.” – 3 Disember, 2014.
Source: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com