Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bh.com.my
PUTRAJAYA: Malaysia sudah menyerahkan dokumen kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai tanda ratifikasi Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung penetapan gaji minimum.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata Konvensyen Nombor 131: Konvensyen Penetapan Gaji Minimum 1970 (C131) itu diserahkan beliau sendiri kepada Ketua Pengarah ILO, Mr Guy Ryder.
Katanya, Malaysia adalah negara pertama dalam kalangan negara anggota ASEAN dan negara kelima di Asia yang meratifikasi konvensyen ini, iaitu suatu instrumen antarabangsa menggariskan kaedah penetapan gaji minimum dan perkara berkaitan dengannya yang perlu dipatuhi sesebuah negara yang meratifikasi konvensyen ini.
“Langkah untuk meratifikasi Konvensyen 131 ini adalah suatu tindakan positif oleh Malaysia bagi membolehkan kita menambah baik standard perburuhan negara berhubung semua aspek pelaksanaan gaji minimum yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2013.
“Kerajaan Malaysia sebagai satu anggota ILO sebelum ini sudah meratifikasi 16 Konvensyen ILO yang masih berkuat kuasa,” katanya yang kini mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa edisi ke 105 di Geneva, Switzerland.
Turut bersama beliau ialah Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan; Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Kishnam dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Lok Yim Pheng.
Richard berkata, sebelum kerajaan membuat keputusan meratifikasi C131, perbincangan dan rundingan diadakan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara dan juga dengan pihak ILO bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan meratifikasi Konvensyen itu.
Katanya, kerajaan berpandangan sistem dan struktur dasar gaji minimum negara sedia ada adalah selaras dengan keperluan artikel di bawah C131, sekali gus menunjukkan komitmen Malaysia di persada antarabangsa untuk menambah baik dasar perburuhan negara khususnya kesejahteraan dan kebaikan golongan pekerja.
“Kementerian Sumber Manusia akan adakan sesi pemakluman kepada semua pihak mengenai ratifikasi konvensyen ini dan keperluan pematuhan terhadap artikel di bawahnya oleh semua majikan.
“Kerajaan berharap dengan ratifikasi ini, Malaysia akan dapat menambah baik pelaksanaan dasar gaji minimum sedia ada di negara ini selaras hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
“Saya sebagai Menteri Sumber Manusia menggesa majikan supaya memberi sokongan padu terhadap dasar gaji minimum ini sebagai satu dasar intervensi negara untuk meningkatkan taraf hidup pekerja terutama yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.
Sumber: Berita Harian Online
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com