Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Azeman Ariffin
JAKARTA, 31 Jan (Bernama) — Persatuan Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) pada Sabtu kesal dengan kekeliruan pihak tertentu di Malaysia yang mendakwa kononnya Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) telah menyebabkan kenaikan kadar bayaran pemprosesan visa pekerja dari negara itu.
APJATI dalam satu kenyataan akhbar di sini berkata, FWCMS adalah satu sistem yang menjalankan pemeriksaan kesihatan pekerja asing secara biometrik dan persatuan itu menyokong kaedah pemeriksaan kesihatan seumpama itu.
Menerusi sistem pemeriksaan kesihatan secara holistik itu, ia dapat memastikan pekerja Indonesia yang dihantar masuk ke Malaysia adalah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit, kata kenyataan itu.
“Secara jelasnya FWCMS ini tidak ada kaitan langsung dengan kadar bayaran pemprosesan visa dan laporan yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia adalah satu salah faham yang serius,” kata kenyataan itu.
Menurut APJATI, FWCMS bukan sahaja telus dan efisien malah ia memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing, terutamanya majikan, pekerja asing sendiri, penyedia insurans dan agensi kerajaan di Malaysia. APJATI juga menjelaskan bahawa pemeriksaan kesihatan dan urusan visa adalah dua perkara berbeza dan disebabkan itu FWCMS tidak ada kaitan dengan kadar bayaran visa.
Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan visa pekerja Indonesia dikendalikan oleh sebuah syarikat iaitu PT Omni Saranan Cipta yang ditubuhkan di Indonesia dan dilantik oleh sebuah syarikat di Malaysia iaitu Triwana Technology Sdn Bhd dengan sokongan pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Semalam, Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), syarikat penyedia Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) menafikan syarikat itu bertanggungjawab bagi kenaikan terlalu tinggi kadar bayaran pemprosesan visa untuk pekerja Indonesia.
Bestinet dalam kenyataan berkata isu pemprosesan visa di Indonesia tidak ada kena mengena dengan syarikatnya.
FWCMS merupakan sistem pengurusan dalam talian yang disokong oleh infrastruktur pengurusan pemprosesan data yang terjamin dan selamat yang dibangunkan untuk kerajaan Malaysia.
Pada Jumaat, Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan modul bio-perubatan dan permohonan visa elektronik dalam FWCMS untuk permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) yang dikutkuasakan pada 15 Jan ditangguhkan serta merta bagi memberi laluan kepada jabatan itu dan Kementerian Dalam negeri (KDN) meneliti dan memperhalusi dasar-dasar berkaitan.
Menurut jabatan itu, dengan penangguhan itu, semua permohonan VDR di kaunter Imigresen dibuka semula sejak semalam.
Bioperubatan dilaksanakan di negara sumber manakala VDR dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu melaporkan bayaran pemprosesan visa bagi pekerja Indonesia daripada hanya RM15 naik kepada RM250 di bawah sistem baharu itu yang dikendalikan sebuah syarikat swasta.
Ia juga menyatakan kadar kenaikan terlalu tinggi bayaran visa itu telah mengejutkan majikan dan pengusaha agensi pekerjaan yang marah dengan perkara itu mengancam untuk berhenti menghantar pekerja ke Malaysia.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com