Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyampaikan Faedah Orang Tanggungan iaitu pencen bulanan kepada lima beradik yatim piatu yang kematian ibu bapa mereka dalam kemalangan jalan raya di susur keluar Jalan Chan Sow Lin, Mei lepas.
Pengarah Perkeso Kuala Lumpur Mohamad Asri Ngosman berkata mereka mendapat bayaran sebanyak RM1,596 bagi bayaran pertama yang dikira sehari selepas kematian ibu bapa mereka dan bayaran bulanan berjumlah RM1,260 mulai Julai.
“Sebagai pencarum (ibu bapa mereka) Perkeso juga membayar Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 bagi dua kematian.
“Bayaran pencen yang dibayar oleh Perkeso ini akan berterusan sehingga anak-anak ini mencapai umur 21 tahun,” katanya kepada media sempena Program Lawatan Ziarah Perkeso di kediaman lima beradik itu di Taman Desa Cheras di sini.
Mereka ialah Muhammad Haikal Jefri, 16, Fatin Adlina, 14, Muhammad Aidil, 10, Nursyamimi, 4, dan Nur Auni Syafia, 3.
Pada 25 Mei lepas, Jefri Mohd Zain, 50, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, maut dalam kemalangan itu di Persimpangan Jalan Chan Sow Lin, off Jalan Loke Yew.
Mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah lori dari arah belakang selepas motosikal mereka terbabas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ibu saudara mereka, Zainah Mohd Zain, 45, berkata beliau bersyukur kerana menerima banyak sumbangan untuk lima beradik itu.
“Sejak hari kematian arwah berdua, pelbagai bantuan termasuk daripada individu, syarikat, masjid dan surau diterima sampai sekarang,” katanya.
Zainah berkata keadaan lima beradik itu kini lebih tenang dan sudah boleh menerima ketiadaan ibu bapa mereka.
“Mula-mula mereka memang trauma, dah lama ni okay sikit. Cuma yang bongsu (Nur Auni Syafiya) agak manja, bila menangis tanya mana ayahnya sebab dia memang rapat dengan arwah Jefri,” katanya.
Anak sulung, Muhammad Haikal, berkata walaupun masih bersedih, beliau tetap akan menjaga adik-adiknya dengan baik.
“Saya tidak akan pisahkan kami adik-beradik dan akan membantu mereka berjaya dalam hidup,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Asri berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Perkeso telah membayar RM12.25 juta kepada pencarum yang mengalami Hilang Upaya Sementara manakala RM8.55 juta pula dibayar kepada mereka yang mengalami Hilang Upaya Kekal.
Bagi tempoh sama, Perkeso Kuala Lumpur telah membayar sebanyak RM563,903 pencen Ilat kepada pencarum yang mengalami keuzuran kekal manakala sebanyak RM47,109 dibayar kepada Faedah Orang Tanggungan, katanya. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com