Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Pekerja asing kerap dijadikan mangsa di kalangan tenaga pekerja, mendorong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi amaran lebih banyak kekacauan akan berlaku sekiranya tenaga pekerja yang seramai 6 juta itu tidak dilayan dengan bermaruah.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Kishnam berkata, rusuhan pada Ogos melibatkan pekerja Bangladesh dan Nepal di sebuah kilang elektronik di kawasan perindustrian kelapa sawit di Kulaijaya, Johor, hanya satu amaran awal kepada masalah yang sekian lama terpendam.
“Setahu saya, ini kali pertama insiden seserius itu berlaku dan ia sesuatu yang membimbangkan,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual baru-baru ini.
Gopal merujuk kepada mogok yang diadakan pada 27 Ogos oleh kira-kira 800 pekerja asing, kebanyakannya dari Nepal dan beberapa dari Bangladesh, yang bertukar menjadi rusuhan apabila pekerja membaling batu ke arah pejabat pengurusan kilang, membakar kereta dan akhirnya membakar sebahagian kilang itu.
Laporan berita mengatakan pekerja mendakwa mereka diberi layanan buruk dalam bentuk penderaan fizikal. Mereka mendakwa terpaksa bekerja pada Ahad dan bekerja lebih masa tanpa gaji, dan syarikat itu gagal menyediakan pengangkutan, memaksa mereka berjalan kaki lebih sejam ke tempat kerja.
Kejadian itu berlaku di luar kilang JCY HDD Technology Sdn Bhd yang membuat bahagian elektronik. Ia adalah susulan satu lagi mogok yang diadakan seminggu sebelum itu di cawangan syarikat itu di Kawasan Perindustrian Tebrau IV berhampiran Johor Baru.
Insiden itu melibatkan kesihatan seorang pekerja yang akhirnya meninggal dunia. Dan ini bukan kali pertama pekerja asing memprotes majikan mereka yang lambat merawat rakan yang sakit.
Gopal berkata, dua pegawai dari Pusat Sumber Migran di Johor ditugaskan melihat perkara itu, tetapi keadaan menjadi bertambah teruk.
“Insiden ini menjadi pembuka mata dan ia berlaku kerana pekerja asing tidak lagi dapat membendung kekecewaan mereka. Majikan tidak boleh mendera pekerja,” katanya.
Gopal berkata, dianggarkan terdapat 350,000 pekerja dalam sektor elektronik dan kira-kira 35% daripada mereka warga asing.
Warga asing sering diambil bekerja dalam sektor ini kerana penduduk tempatan tidak berminat dengan pekerjaan ini kerana gajinya rendah.
Undang-undang buruh Malaysia terpakai bagi kedua-dua pekerja tempatan dan asing, tetapi warga asing sering diambil kesempatan.
Dalam kes JCY HDD Technology, Gopal berkata majoriti pekerja di kilang di Kulaijaya ialah warga asing.
“Berdasarkan maklumat awal, 90% tenaga kerja terdiri daripada warga asing. Manakala majikan pula didapati tidak membayar gaji dan kerja lebih masa seperti dipersetujui. Keadaan pekerjaan mereka sangat dahsyat,” katanya.
Baru-baru ini, laporan pertubuhan hak asasi buruh dunia Verite mendapati “perhambaan zaman moden” berleluasa dalam industri elektronik Malaysia.
Berdasarkan penemuannya, hampir satu daripada tiga pekerja sektor ini menderita akibat tekanan kerja dan keadaan hidup. Mereka juga terikat dengan hutang.
“Dalam dua persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang lalu, Malaysia dikenal pasti mengamalkan buruh paksa dalam sektor elektronik,” kata Gopal.
Pekerja dibenarkan membentuk kesatuan dalam sektor elektronik tetapi majikan didapati sering menggagalkan usaha itu. Gopal mendakwa “segala macam taktik tipu helah digunakan” untuk mengekang aktiviti pekerja yang dirancang.
Mengikut undang-undang, kesatuan dibenarkan mengadakan mogok sebagai satu bentuk tindakan perindustrian, tetapi Gopal berkata majikan membuatkannya menjadi hampir mustahil.
Rusuhan baru-baru ini, bagaimanapun, bermula sebagai “wildcat strike,” yang merupakan tindakan tidak rasmi bertujuan mendesak majikan memenuhi permintaan pekerja, kata Gopal .
MTUC juga berharap Majlis Perundingan Gaji Negara akan mencadangkan kepada Kabinet supaya gaji bulanan pekerja swasta ditetapkan pada RM1,200 dan kos elaun sara hidup RM300 diberi mulai tahun depan.
“Majlis yang diketuai hakim bersara itu dalam proses perbincangan dengan pihak lain yang berminat. Kami berharap sebarang cadangan akan diterima dengan baik disebabkan kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Menurut Akta Gaji Minimum 2012, mereka yang bekerja di semenanjung mesti dibayar sekurang-kurangnya RM900 dan bagi yang di Sabah dan Sarawak, RM800 sebulan.
Gopal berkata, mengikut undang-undang itu, gaji minimum tertakluk kepada kajian semula setiap 2 tahun.
Malaysia mempunyai 5.8 juta pekerja asing, dan kira-kira 2.9 juta daripadanya merupakan pekerja yang sah. – 1 Oktober, 2014.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com