Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH EILEEN NG
Tidak ada kanak-kanak atau buruh paksa dalam sektor perladangan kelapa sawit Malaysia, kata Putrajaya, mengulas senarai yang dikeluarkan Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) memetik industri berbilion ringgit negara itu menggunakan tenaga kerja kanak-kanak.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, kaji selidik 6 bulan yang siap Jun tahun ini membabitkan 68 ladang dan syarikat kecil di beberapa negeri mendapati, tidak ada buruh paksa atau kanak-kanak dalam sektor itu.
Kaji selidik itu dijalankan di Selangor, Perak, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak meliputi 1,632 pekerja.
“Dalam kes di Sabah, kajian menunjukkan anak warga asing menemani ibu bapa mereka di tempat kerja mereka kerana tiada sesiapa yang menjaga di rumah dan mereka juga membantu dengan kerja ringan seperti mengutip buah gugur.
“Bagaimanapun, ini hanya dibenarkan selepas waktu persekolahan, hujung minggu dan hari cuti,” kata kementerian itu dalam satu kenyataaan kepada The Malaysian Insider.
Kaji selidik itu berdasarkan kepada garis panduan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) yang meliputi pekerja, majikan dan kontraktor buruh. Temubual dengan pekerja dijalankan tanpa kehadiran majikan.
Penemuan mendedahkan kes majikan memegang pasport pekerja asing, tetapi keadaan itu tidak banyak, hanya 0.4% daripada keseluruhan responden.
Ia berkata, terdapat pasaran buruh yang aktif dalam perladangan kelapa sawit di mana pekerja asing boleh cari pekerjaan alternatif.
“Kementerian akan koordinasi hasil kajian itu dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mengukuhkan undang-undang dan peraturan buruh dalam perladangan kelapa sawit,” katanya.
Malaysia termasuk dalam senarai barangan dihasilkan menggunakan buruh kanak-kanak atau buruh paksa yang dikeluarkan Biro Hal-Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) di bawah Jabatan Buruh AS.
Ia dikeluarkan dua hari lalu sebagai sebahagian daripada laporan dwi tahunan kepada Kongres AS dan bagi memenuhi syarah di bawah Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan AS (TVPRA) 2005, untuk memantau dan menyediakan maklumat mengenai pemerdagangan manusia dijadikan buruh paksa.
Dalam kenyataan media di laman web jabatan buruh itu, ia berkata kelapa sawit adalah tambahan baru kepada senarai barangan yang dibuat menggunakan buruh kanak-kanak, dan Malaysia turut dipetik dalam senarai itu.
ILAB berkata ia fokus kepada maklumat mengenai kanak-kanak bawah umur 18.
Ia mentakrifkan “buruh kanak-kanak” sebagai hasil kerja seseorang berumur di bawah 15 tahun dan mempunyai persamaan dengan perhambaan dan aktiviti haram, serta membahayakan “moral, kesihatan dan keselamatan kanak-kanak”.
Katanya, senarai itu diperolehi berdasarkan data umum yang terdapat dalam “sumber utama dan sampingan yang boleh didapati umum”, termasuk data ILO, lawatan tapak oleh ILAB dan pegawai pemerintah AS, kaji selidik kebangsaan dan maklumat dikumpul institutsi akademik dan badan bukan kerajaan.
“Bagi memastikan ketelusan, senarai kami disediakan dengan menggunakan maklumat yang didapati umum,” kata Drake Weisert, jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur, kepada The Malaysian Insider.
Maklumat berdasarkan senarai rujukan laporan media tempatan dan luar negara, laporan kedutaan AS di Kuala Lumpur, di samping yang disediakan pertubuhan hak pekerja asing, Tenaganita.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, ia tidak membiarkan mana-mana perbuatan buruh paksa dan kanak-kanak dan mengambil serius terhadap tuduhan dan penemuan seumpama itu, menambah sektor kelapa sawit adalah industri yang dikawal ketat di Malaysia.
“Pada masa ini, industri kelapa sawit mengikut lebih 60 undang-undang dan peraturan yang termasuk kriteria amalan buruh. Industri kelapa sawit mengiktiraf kepentingan pekerja dan berusaha memastikan kebajikan pekerja dijaga,” katanya.
Kementerian itu berkata Malaysia mematuhi undang-undang tempatan dan antarbangsa membabitkan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.
Ini termasuk Artikel 6 Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan tiada sesiapa boleh melakukan perhambaan dan buruh paksa dilarang. Turut ada ialah Akta Kanak-kanak dan Orang muda (Pekerjaan) 1966 yang memperuntukkan peraturan melindungi kanak-kanak dan orang muda yang terbabit dalam pekerjaan membabitkan terma jam bekerja dan jenis kerja.
Malaysia yang juga anggota ILO mengikat negara ini dengan konvensyen pertubuhan mengenai kanak-kanak dan buruh paksa, dan akan melaksanakan skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bermula Januari tahun depan, di mana kriterianya termasuk mematuhi undang-undang dan peraturan buruh, kesihatan, keselamatan dan syarat pekerjaan.
“Industri kelapa sawit adalah komponen terbesar dalam sektor pertanian dan sumber pendapatan hasil eksport tertinggi. Dalam konteks ini, kerajaan akan terus mengambil kaedah untuk memberikan imej positif kepada industri itu,” katanya.
Memasukkan Malaysia ke dalam senarai TVPRA itu tidak bermakna mengundang sekatan kerana tujuan utama senarai itu bagi memberi kesedaran awam mengenai buruh paksa dan bawah umur dan bagi menggalakkan usaha ke arah menanganinya, bukan berniat menghukum. – 3 Disember, 2014.
Source: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com