Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Nur Fadhliana Shaari
KUALA LUMPUR (Bernama) — “Mana nak letak anak”! Ini adalah soalan yang sering menghantui ribuan ibu bapa di negara yang terpaksa keluar bekerja.
Meskipun ramai yang memilih khidmat pembantu rumah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) atau penjaga anak, namun mereka masih tidak senang duduk di tempat kerja memandangkan banyak laporan pengabaian, penderaan dan kematian anak yang ditinggalkan di bawah penjagaan orang yang dipercayai.
Bukan itu sahaja masalahnya kerana ramai juga ibu bapa yang menanggung beban kos serta jarak tempat penjagaan anak.
Kos mengguna khidmat pembantu rumah atau penjaga anak memang tinggi. Jika tidak mahu menanggung kos besar ini, mereka boleh memilih menghantar anak kepada penjaga anak yang tinggal jauh.
Jikalau tidak mahu pening kepala, jalan mudah adalah untuk ibu atau bapa berhenti kerja dan jaga anak di rumah.
Bagaimanapun, tidak mudah untuk pasangan yang mempunyai anak kecil dan tinggal di bandar besar untuk memilih jalan ini kerana suami dan isteri perlu bekerja kerana kos sara hidup yang tinggi.
PUSAT PENJAGAAN ANAK DI TEMPAT KERJA
Kerajaan sememangnya sedar akan masalah yang terpaksa ditanggung ibu bapa yang bekerja dan menghargai sumbangan kaum wanita yang turut bekerja.
Oleh yang demikian, pihak kerajaan menggalakkan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Bagaimanapun, berbanding dengan negara Barat, kebanyakan majikan masih belum menyahut seruan kerajaan ini.
Pada awal tahun ini, sebuah kumpulan perbankan terkemuka, CIMB Group Holdings Berhad mengorak langkah menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak untuk kakitangannya secara perkongsian dengan Krista Education, syarikat penyedia pendidikan awal kanak-kanak yang tidak asing lagi.
Pusat penjagaan kanak-kanak, Krista @MBC, terletak di Menara Bumiputra-Commerce (MBC) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Ia adalah pusat penjagaan kanak-kanak pertama untuk kakitangan CIMB yang menyediakan perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
MANFAAT UNTUK CIMB
Menurut Hamidah Naziadin, Ketua Pegawai Kakitangan, CIMB Group Holdings Bhd, pihak Bank tahu kakitangan mahu persekitaran yang selamat serta penjagaan berkualiti untuk anak-anak mereka.
“Sebab utama penubuhan pusat penjagaan harian ini adalah untuk membantu dan memberi motivasi kepada kakitangan kami. Ini juga akan membantu meningkatkan produktiviti mereka kerana tidak perlu risau kerana anak-anak mereka ada di bangunan yang sama”, katanya.
Tambahan, kata beliau, ibu bapa juga boleh singgah di pusat penjagaan itu untuk melihat anak mereka pada bila-bila masa sahaja. Yuran bulanan untuk ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat penjagaan itu adalah RM600.
Kumpulan perbankan itu juga merancang menubuhkan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan utama CIMB yang lain.
Antara kakitangan CIMB yang sempat ditemui untuk mendapatkan komen penubuhan pusat jagaan ini, Rozani Ghazali berkata beliau memilih untuk menghantar anak lelakinya, Amar, 6, ke pusat itu kerana yakin dengan program Pembelajaran Krista.
“Saya dan isteri berpuas hati dengan Krista kerana kami dapat melihat kemajuan anak kami, Amar sejak di hantar ke pusat penjagaan itu.
“Bukan sahaja anak kami gembira tetapi kami dapati kemampuannya bertutur bahasa Inggeris pun bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pendidikan Krista, Seng Chee berkata, “Kami berasa bertuah dapat bekerjasama dengan CIMB dan ini adalah pusat penjagaan kanak-kanak Krista yang pertama di tempat kerja.
“Pusat ini boleh menampung sehingga 50 kanak-kanak dan mempunyai 10 orang guru terlatih dan penjaga.”
Setakat ini, syarikat pendidikan ini mempunyai 100 taman didikan kanak-kanak dan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara.
Di MBC, seramai 19 orang ibu bapa telah mendaftar anak mereka dengan pusat penjagaan ini dan dijangka lebih ramai kakitangan akan menghantar anak mereka ke pusat itu.
Diharapkan lebih banyak syarikat atau organisasi akan mengikut jejak langkah CIMB dalam menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak untuk kakitangan mereka.
Langkah ini sudah tentu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh kebanyakan ibu bapa yang bekerja. — BERNAMA
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com