Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Pengerusi dan Perwakilan yang dihormati,
Ketika kami berkumpul di sini untuk Persidangan Buruh Antarabangsa bagi menyambut hari ulangtahun penubuhan ILO yang ke 100 di Geneva, sudah tentu ada banyak kejayaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk diraikan. Sememangnya wajar dan tepat untuk kita sama-sama menghayati kejayaan-kejayaan itu.
Selain meraikan kejayaan itu, kita juga harus perlu bermuhasabah secara jujur dan bertanya kepada diri kita sendiri sama ada kita sudah melakukan sebaik mungkin untuk mencapai sasaran-sasaran ILO. Apa yang jelas adalah, kita hidup di dunia di mana golongan minoriti mempunyai kekayaan melampau dan menguasai sistem politik, ekonomi dan pengeluaran barangan global. Pada satu ketika, penguasaan ini terhad kepada persempadanan negara tertentu tetapi hari ini menjadi fenomena global dan membawa masalah yang semakin mendesak kepada kebajikan pekerja.
Ketidakseimbangan dalam pendapatan membawa kepada jurang kekayaan semakin melebar, memaksa pemindahan penduduk, serta pertumbuhan ekonomi tidak langsung. Semua ini menjejaskan norma-norma cara hidup, budaya dan sistem kemasyarakatan di sekeliling kita.
Keadaan semakin tenat ini berpunca daripada amalan sebuah sistem yang membolehkan satu peratus penduduk dunia menggubal dan menetapkan undang-undang yang memperkayakan diri mereka dan wajib dipatuhi oleh baki 99 peratus warga dunia.
Meskipun hari ini kita mencapai pelbagai kemajuan, masih wujud masalah-masalah asas seperti kelaparan global, pengangguran, kekurangan pekerjaan yang sesuai dan penganiayaan kaum pekerja. Ini tidak harus dibenarkan untuk berterusan dan perubahan politik yang kita saksikan di serata dunia membawa mesej bahawa rata-rata rakyat menolak keadaan ini dan mahukan perubahan yang bermakna.
Hari ini kami memerlukan standard atau piawaian global buruh yang melengkapi, malah menyaingi peraturan perdagangan sedia ada supaya hasil perdagangan global yang semakin meningkat dikongsi bersama dan bukan dibolot oleh sebilangan kecil manusia.
Hari ini, hak pekerja untuk diwakili oleh kesatuan yang bebas dan berkecuali sentiasa dicabar oleh jentera kapitalis. Ini melebarkan lagi jurang dalam masyarakat dan hanya boleh diperbetulkan dengan usaha ikhlas semua pihak, termasuk kerajaan dan majikan.
Keikhlasan ini amat perlu untuk memastikan pekerja mempunyai hak secukupnya untuk diwakili kesatuan. Sudah banyak kali, ungkapan-ungkapan mengenai hak pekerja ini kedengaran di persidangan seperti ini namun, dari segi amalan, realitinya amat berbeza.
Masa sudah sampai untuk kita mensasarkan “kehidupan memuaskan” atau ‘decent living’ dan aspek ini harus menjangkau soal upah layak. Sasaran ini tidak harus dilihat sebagai keinginan semata-mata tetapi sebagai hak kemanusiaan yang perlu dinikmati oleh semua insan.
Di Malaysia, esok rakan-rakan sosial akan menandatangani “Decent Work Country Programme”. Walaupun perjanjian ini bersejarah dan dialu-alukan, kami kesal kerana organisasi yang lantang bersuara mengenai dialog sosial gagal mengamalkannya dalam menyiapkan dokumen berkenaan. Program ini sepatutnya memberi keutamaan kepada keperluan semua pekerja serta integrasi buruh migran dan tempatan, bukannya pengasingan dan diskriminasi sesama mereka.
Contoh diskriminasi ketara adalah peruntukan US$50 juta untuk 6 projek yang hanya melibatkan pekerja asing di Malaysia berbanding satu projek mebabitkan pekerja tempatan dan warga asing diluluskan dengan peruntukan US$1.5 juta.
Justeru, ILO perlu mengintegrasikan pekerja asing dan tempatan di Malaysia dan bukan sebaliknya. ILO tidak boleh berkompromi dengan 2 asasnya dalam menangani syarat-syarat penderma yang kadang-kala merugikan pekerja Malaysia dan pertumbuhan negara sendiri.
MTUC memuji kerajaan Malaysia kerana mengorak langkah menjalankan Pindaan Akta Akta Perburuhan namun pindaan tersebut perlu dilakukan secara iklhas dengan penglibatan semua pihak berkepentingan. Sesuatu yang agak menyedihkan apabila kerajaan masih tidak meratifikasikan C87 yang melibatkan hak berkesatuan meskipun kami menaruh harapan besar ia akan dilakukan pada sambutan ulangtahun ILO ke100 ini. Apa pun, MTUC akan terus berusaha ke arah merealisasikan ratifikasi C87 dan kami yakin ia akan menjadi kenyataan dalam masa akan datang.
Pengerusi dan Perwakilan yang saya hormati,
Saya mengakhiri ucapan saya dengan menekankan bahawa pentingnya kita semua bekerjasama untuk mengambil tindakan ketara yang mampu mencapai sasaran-sasaran ILO agar kekayaan dunia hasil dari limpah Yang Maha Esa diagih secara adil kepada manusia sejagat.
Terima Kasih
J SOLOMON
SETIAUSAHA AGONG
MTUC
18 Jun 2019
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com