Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak harus tunduk dengan ugutan pemberhentian kerja oleh majikan apabila pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dikuatkuasakan.
Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, yang berkata, alasan diberikan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berhubung perkara itu adalah cetek dan ia untuk menafikan hak asasi pekerja.
Katanya, MTUC kesal dengan ugutan sedemikian kerana ia seperti memaksa kerajaan untuk memberi keutamaan terhadap keuntungan syarikat berbanding tanggungjawab menyedia kediaman pekerja yang sesuai.
“Sudah lumrah majikan di Malaysia membuat ugutan sedemikian setiap kali diminta untuk menyumbang serba sedikit kebajikan pekerja di negara ini, tidak kira warga tempatan mahupun migran.
“Hakikatnya, sejak berzaman lagi mereka mengaut keuntungan lumayan mengupah pekerja migran dan tempatan dengan memberikan gaji rendah dan kemudahan terhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Solomon berkata, MTUC amat kesal dengan ugutan MEF bahawa majikan terpaksa membuang pekerja kerana menanggung kos tinggi jika dipaksa mematuhi undang-undang baharu mengenai kemudahan perumahan pekerja.
Beliau berkata, MEF harus berhenti menggunakan taktik tidak beretika seperti ugutan menutup periuk nasi pekerja hanya untuk memaksa kerajaan menangguhkan perundangan yang digubal demi kepentingan pekerja dan ekonomi negara.
“Pindaan akta diluluskan di Parlimen Julai tahun lalu dan majikan diberi masa lebih 12 bulan untuk mematuhi undang-undang baharu itu tetapi kebanyakan majikan mengambil sikap tidak peduli dan acuh tak acuh.
“Pada Mei lalu, kerajaan memberikan majikan tambahan tiga bulan untuk mematuhi pindaan akta berkenaan, namun majikan tetap mengambil sikap acuh tak acuh,” katanya.
Katanya, selepas seminggu tarikh rasmi penguatkuasaan pindaan akta berkenaan, majikan menerusi MEF kini mendakwa tidak diberikan penerangan atau butiran terperinci mengenai undang-undang berkenaan oleh kerajaan.
“Majikan turut mendakwa terkejut dengan penetapan 1 September sebagai tarikh penguatkuasaan undang-undang yang diluluskan lebih setahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menanggung risiko membayar harga lebih tinggi jika isu kediaman dan kemudahan pekerja terus diremehkan kerana kos ekonomi yang terpaksa ditanggung adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan dakwaan kerugian yang didakwa MEF.
“Malaysia hari ini masih sarat dengan majikan yang mempunyai rekod buruk di rantau ini. Mereka dikenali sebagai pakar memberi gaji minimum tetapi menafikan hak pekerja dan kesatuan serta amat kedekut dalam menyokong undang-undang propekerja,” katanya.
Solomon mendakwa pendirian tidak berprinsip MEF terhadap penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 hanya menyerlahkan sikap dan minda majikan untuk terus mengeksploitasi dan menganiaya pekerja selagi dibenarkan kerajaan.
Source : https://www.bharian.com.my/…/usah-tunduk-ugutan-pemberhenti…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com