Urus sendiri pembantu rumah, sejahterakan majikan – MTUC
31 Oktober 2017 Print page
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yakin dengan langkah kerajaan membenarkan pengambilan pembantu rumah secara terus dari negara sumber menerusi Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu bakal memberi kesejahteraan kepada majikan serta pembantu rumah itu sendiri.
Presidennya, Abdul Halim Mansor memberitahu, perkara itu merupakan bonus kepada golongan berkenaan (majikan) apabila pengumuman penjimatan kos bebanyak enam kali ganda itu secara tidak langsung akan menamatkan ‘kesengsaraan’ golongan itu yang sebelum ini pernah menjadi mangsa ejen pembantu rumah tersebut.
Menurutnya, platform yang disediakan kerajaan iaitu proses pengambilan pembantu rumah secara atas talian bukan sahaja mengurangkan kos tersebut malah turut mengurangkan kebergantungan setiap majikan kepada ejen yang tidak bertanggungjawab.
“Jika ingin mengambil pembantu rumah, ia haruslah berpusat. Dapatkan bantuan daripada kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen serta pejabat kedutaan negara berkaitan bagi penyediaan pembantu rumah yang berkualiti serta dilengkapi dengan pelbagai kursus asas dalam mengendalikan kerja rumah.
“Jangan mudah percaya kepada agensi, ada segelintir ejen mereka tidak bertauliah. Mereka banyak mengaut keuntungan daripada caj tersembunyi termasuklah kos levi, visa, pengangkutan serta perlindungan insurans,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, langkah kerajaan membenarkan majikan mengambil terus pembantu rumah dari negara sumber merupakan satu rahmat kepada rakyat negara ini kerana kos itu dapat dikurangkan sebanyak enam kali ganda iaitu majikan hanya perlu membayar sekitar RM3,360 berbanding bayaran kepada ejen yang mencecah RM18,000.
Sementara itu, Pensyarah Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, masyarakat di negara ini harus memanjatkan rasa syukur kerana kerajaan prihatin terhadap jerih perih rakyat selama ini.
Ujarnya, kemudahan mengurus sendiri pembantu rumah oleh para majikan kelak tidak seharusnya dijadikan titik mula kepada ‘dendam’ antara pihak kerajaan, majikan dan agensi itu sendiri.
“Kerajaan amat bersimpati dengan rakyat. Apa yang sepatutnya diselesaikan segera, mereka akan bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian terbaik termasuklah membuka ruang kepada majikan seperti ini dan seterusnya membelakangkan ejen-ejen tidak bertanggungjawab tersebut.
“Kita menasihati majikan supaya tidak membiarkan masalah kos pengambilan pembantu rumah ini dimanipulasi secara keseluruhan oleh ‘lintah darat’ ini. Majikan wajar beralih arah demi mengelakkan pelbagai rantaian masalah daripada berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Source : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/urus-sendiri-pembantu-rumah-sejahterakan-majikan-8211-mtuc-1.545296#.Wfe9pKDzi-o.whatsapp