Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan pekerja di pelbagai sektor di Malaysia masih dibelenggu penindasan dan diberi gaji rendah walaupun menyumbang kepada rangkaian pertumbuhan pembangunan negara.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, ketika menyuarakan pendirian itu berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat martabat pekerja kerana kemajuan yang dikecapi Malaysia selama ini adalah hasil kudrat dan komitmen tidak berbelah bahagi mereka.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan baharu yang diberi mandat oleh rakyat susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, wajar merangka usaha reformasi bersifat menyeluruh menjelang sambutan Hari Pekerja esok.
“Kira-kira setahun lalu, Malaysia meraikan permulaan baharu menerusi PRU-14 apabila berlakunya peralihan tampuk pemerintahan kerajaan.
“Pelbagai harapan disulam, khususnya dalam kalangan tenaga buruh dan kesatuan sekerja yang menderita terutama untuk beberapa tahun kebelakangan ketika ditadbir kerajaan lama.
“Kami memohon kerajaan baharu tidak lagi berdolak-dalik daripada menunaikan janji membawa pembaharuan, sebaliknya bulatkan tekad dan kesungguhan bagi menterjemahkannya dalam bentuk tindakan, sekali gus mengembalikan maruah pekerja,” katanya menerusi perutusan Hari Pekerja dan sambutan ulang tahun ke-70 MTUC, hari ini.
Menyentuh perihal gaji minimum, Solomon menyifatkan kadar itu tidak mencukupi meskipun Pakatan Harapan (PH) menjanjikan bayaran RM1,500 sebelum penggal pentadbiran berakhir pada 2023.
Bagaimanapun, katanya, MTUC kekal dengan pendirian sebelum ini yang mencadangkan gaji minimum perlu berkadar RM1,800 bagi memberi keadilan terhadap golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), seperti disarankan dalam laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Penyelidikan Khazanah.
“Peningkatan kos sara hidup kini amat sukar diharungi oleh rakyat, manakala kumpulan isi rumah berpendapatan pertengahan turut berdepan pelbagai kesulitan. Kami harap rangkaian usaha reformasi bakal menjadi permulaan lebih baik dalam menangani penindasan dialami pekerja untuk sekian lamanya.
“Jika dikira pertumbuhan ekonomi negara sejak kemerdekaan, pekerja tidak diberikan haknya, kontrak sosial perlu dirombak semula, manakala kuasa ekonomi dan politik wajar dialihkan daripada kadar satu peratus kepada 99 peratus,” katanya.
Memetik tema sambutan iaitu ‘Masa Depan Kerjaya’, Solomon berkata, ia bertepatan dengan pelbagai cabaran semasa, termasuk perundangan yang menyaksikan kelompok perniagaan berskala besar diberikan keistimewaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan kekayaan dan melebarkan jurang pendapatan.
Beliau berkata, penindasan didalangi golongan majikan ketika ini semakin menular kerana terma pengambilan pekerja membolehkan mereka menekan kebajikan penjawat yang diupah secara kontrak, khususnya membabitkan perihal gaji dan perwakilan kesatuan sekerja.
“Oleh itu, kerajaan harus memberikan penekanan serius terhadap isu ini bagi mengelak penindasan dalam kalangan pekerja kontrak semakin meruncing, selain menangani gerakan menentang pertubuhan kesatuan sekerja.
“Mahkamah Perindustrian juga harus bertindak sebagai pemangkin ke arah menuntut keadilan kerana mendapat gaji setimpal dan kehidupan yang selesa ialah hak asasi manusia, bukan untuk diperlekehkan segelintir pihak seperti golongan dengan kepentingan tertentu dan perniagaan,” katanya.
Source:http://www2.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/558748/pekerja-tuntut-pembelaan-janji-mtuc?fbclid=IwAR0iIL4kgnbqMoknU01ESpc4iYlfJgxOJmWKW5wMUnWOVHMPC5sjxU_wfKs
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com