Pakar: Mengapa orang tua dari Pakistan jadi pengawal keselamatan
27 Disember 2017 Print page
Perunding JK Associates mempersoalkan mengapa syarikat keselamatan mengupah pengawal berusia 60 tahun ke atas dan bersenjata api.
PETALING JAYA: Seorang pakar keselamatan mempertikaikan tindakan syarikat yang enggan mematuhi dasar pengambilan pekerja dalam bidang keselamatan.
Perunding utama JK Associates Khen Han Ming mengulas kes seorang pengawal keselamatan berusia 69 tahun dari Pakistan yang ditemui mati terbunuh berdekatan sebuah tempat takungan air di Puchong Permai.
Bernama memetik Ketua Polis Subang Jaya ACP Mohammad Azlon Sadari sebagai berkata mangsa, Muhammad Gul, mati selepas dikelar di kepala dan kedua tangannya di pos kawalan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian ialah samun apabila empat remaja berusia antara 16 hingga 20 tahun berada dalam keadaan mabuk dan kehabisan wang untuk membeli arak,” katanya kepada Bernama.
Khen berkata mengambil orang bukan warga Nepal sebagai pengawal keselamatan menyalahi dasar kerajaan, dan bingung mengapa ada syarikat mengambil pesara sebagai pengawal keselamatan.
“Lelaki itu berusia 69 tahun. Apa yang boleh dia lakukan dalam keadaan berbahaya itu?”
Walaupun beliau tidak mempunyai angka sebenar, Khen mendapati ada banyak syarikat lain mengambil orang tua menjadi pengawal keselamatan.
“Anda boleh temui mereka bekerja syif malam di kawasan-kawasan perniagaan dan berdekatan pusat membeli belah.
“Kadang-kadang, mereka membawa senapang patah. Saya tertanya-tanya adakah mereka masih mampu menggunakan senjata seperti itu.”
Beliau berkata walaupun syarikat mungkin menjadikan kekurangan bekalan pengawal Nepal berkelayakan sebagai alasan, syarikat sepatutnya lebih berusaha dan tidak bergantung kepada satu syarikat pembekal.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/27/pakar-mengapa-orang-tua-dari-pakistan-jadi-pengawal-keselamatan/