Naik RM50 tak cukup ringankan beban
7 September 2018 Print page
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menegaskan keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum di Semenanjung daripada RM1,000 ke RM1,050 tidak mencukupi untuk meringankan beban rakyat miskin.
Katanya, janji ke 34 dalam manifesto PH jelas menyatakan kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dan satu penjelasan yang memuaskan harus diberikan oleh kerajaan berhubung keputusan itu.
Menurutnya, kenaikan sebanyak RM50 tidak akan memberi kesan yang banyak kepada golongan paling memerlukan iaitu golongan B40 dan masyarakat miskin bandar.
“Golongan ini semakin hari semakin dibebankan dengan peningkatan kos barangan yang tinggi. Kebanyakan rakyat yang miskin tidak mampu untuk menyara kos hidup mereka sekiranya mereka bergantung kepada gaji minimum sebanyak RM1,050.
“Gaji bulanan sebanyak RM1500 pun hampir tidak mencukupi untuk menanggung sebuah keluarga lima orang (ibu bapa dan tiga anak) di bandar. Pada hari ini, setiap kunjungan ke pasar raya akan menelan belanja lebih daripada RM50, walaupun seseorang itu hanya membeli keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gaji minimum seragam RM1,050 berkuat kuasa 1 Januari 2019]
Semalam, satu kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji minimum akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun depan.
Kadar gaji minimum itu ditetapkan pada RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam dan ia merupakan salah satu daripada 10 janji PH pada PRU14.
Mengulas lanjut, Maria berkata, Bank Negara Malaysia pada Mac lalu telah menganggarkan gaji bulanan untuk seorang mendapat kehidupan yang selesa di Kuala Lumpur adalah antara RM2,700 bagi masih bujang, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 pula bagi pasangan dengan dua anak.
Katanya lagi, laporan Malaysia Economic Monitor yang dikeluarkan Bank Dunia pada akhir tahun lepas pula menjelaskan bahawa peningkatan kadar inflasi di Malaysia adalah tidak selari dengan peningkatan gaji dan ini telah mewujudkan satu kesan buruk kepada isi rumah berpendapatan rendah, terutama di kawasan bandar.
“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan menerangkan kepada rakyat mengapakah cadangan Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) untuk hanya meningkatkan gaji minima sebanyak RM50 sebulan dipersetujui.
“Kerajaan juga harus menyiarkan laporan MPGN mengenai cadangan kenaikan gaji minima ini kepada orang awam supaya mereka faham mengapa keputusan ini dibuat dan pihak mana yang telah terlibat dalam proses konsultasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan persoalan mengapa kerajaan tidak mengambil langkah untuk memberi subsidi kepada majikan untuk membiayai kos peningkatan gaji minimum yang juga telah dijanjikan dalam manifesto PH.
“Saya harap kerajaan akan mengambil serius isu peningkatan kos sara hidup di bandar dan mengkaji semula kadar kenaikan gaji minimum ini. Penyelesaian kepada masalah kemiskinan di negara ini adalah sesuatu yang amat penting dan harus diberikan tumpuan sepenuhnya.
“Rakyat harus menikmati gaji hidup yang wajar untuk membolehkan kita semua hidup secara selesa. Sekiranya kita ingin mencapai status negara yang maju, kita harus berusaha untuk memastikan bahawa tidak ada rakyat Malaysia yang dipinggirkan dan keupayaan kita semua untuk mendapat keperluan asas tidak dihadkan,” katanya.
Source : http://www.sinarharian.com.my/nasional/naik-rm50-tak-cukup-ringankan-beban-1.876779