MTUC nafi tolak ratifikasi C87
22 Jun 2019 Print page
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menafikan bahawa kongres itu menentang ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 87 (C87), seperti yang dinyatakan Kementerian Sumber Manusia.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata asas konvensyen itu adalah untuk memberi hak mutlak kepada setiap pekerja bergabung dengan kesatuan tanpa mengira sama ada pekerja tempatan atau pekerja asing.
Beliau berkata, walaupun fasal dalam konvensyen itu akan mengikat kerajaan, namun pelaksanaannya tidak akan dilakukan segera, seperti ratifikasi Konvensyen 98 (C98) yang disahkan pada 1961 tetapi syaratnya belum dimasukkan sepenuhnya sehingga kini.
Katanya, moratorium 10 tahun yang diminta MTUC hanyalah salah satu fasal yang membenarkan pekerja di mana-mana firma untuk menganjurkan pelbagai kesatuan dalam organisasi yang sama, yang akan menyebabkan ketidakharmonian di tempat kerja.
“Teras C87 membenarkan semua pekerja sama ada tempatan atau asing untuk menyertai kesatuan pekerja. Kemudian, semua peruntukan dalam C87 tidak dapat dilaksanakan selepas ratifikasi dan akan dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan keperluan tuntutan tempatan dan kesediaan pengundi.
“Apabila Malaysia mengesahkan C98 pada 1961, ia tidak melaksanakan sepenuhnya peruntukan C98 sehingga kini.
“Sebagai contoh, syarat untuk kesatuan mendapatkan pengiktirafan terlebih dahulu daripada majikan tidak ditarik semula dan tiada tawar-menawar kolektif dalam sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, Solomon ketika berucap di persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva menggesa ILO melipat gandakan usaha mendesak kerajaan meratifikasi konvensyen yang memberikan hak kepada pekerja Malaysia menyertai kesatuan sekerja.
Beliau berkata, C87 masih belum menerima pengesahan kerajaan Malaysia meskipun berulang kali didesak MTUC dan badan kesatuan pekerja antarabangsa, dan pihaknya mahu C87 diguna pakai di Malaysia untuk kesemua 14 juta pekerja tempatan dan buruh asing.
Berikutan kenyataan itu, Kementerian Sumber Manusia, semalam melahirkan rasa kesal dan menyatakan bahawa MTUC lupa dengan pendiriannya yang menolak prinsip C87, membabitkan kebebasan yang boleh membawa kepada perpecahan kesatuan di tempat kerja.
Kementerian itu berkata, meratifikasi C87 bermakna perlu patuh terhadap semua prinsip konvensyen itu, selain pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 sudah dicadangkan, yang berdasarkan prinsip yang selari dengan C87.
Solomon berkata, kepelbagaian kesatuan sekerja adalah salah satu peruntukan dalam C87 dan bukan asas seperti yang dikatakan kementerian, serta memberi hak asas, termasuk kebebasan untuk kesatuan sekerja mengadakan bantahan tanpa dikenakan sekatan dalam undang-undang atau kementerian.
“Ia juga mempunyai hak untuk tawar-menawar secara kolektif selepas pendaftaran tanpa syarat bagi mendapatkan pengiktirafan daripada majikan terlebih dulu. Kesemua kebebasan ini tidak ada dalam cadangan kerajaan.
“Selain itu, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 mesti dibaca bersama untuk melaksanakan sepenuhnya C87 dan ini tidak berlaku semasa perbincangan Jawatankuasa Teknikal,” katanya.
Source : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/576932/mtuc-nafi-tolak-ratifikasi-c87