Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata tenaga buruh tempatan bukan hanya perlukan inisiatif tetapi juga perlindungan dan diberikan keutamaan dalam peluang bekerja.
Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata tindakan majikan mengambil tenaga buruh asing dengan mudah mengabaikan hak perlindungan kerja.
“Majikan tidak mengambil tenaga buruh tempatan dengan berbagai-bagai alasan.
“Selain majikan perlu membayar 13% caruman KWSP, faedah bayaran kerja lebih masa, cuti tahunan dan cuti am bergaji dan faedah faedah lain, seperti merundingkan perjanjian kolektif dan menubuhkan kesatuan sekerja,” katanya kepada FMT.
Pada 1 Ogos lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata inisiatif dilaksanakan Putrajaya untuk membantu buruh tidak akan mencapai hasil positif sekiranya mereka sendiri tidak berminat melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberi.
Mahathir berkata, sekiranya buruh tempatan melaksanakan tugas diberi dengan baik, gaji dan emolumen yang mereka terima akan bertambah baik dan meningkat secara semula jadi.
Mahathir berkata, Putrajaya akan mengkaji undang-undang buruh bagi memperbaiki pasaran buruh serta memastikan ketelusan lebih tinggi dan menjaga kebajikan pekerja.
Halim berterima kasih kepada perdana menteri kerana sedar majikan lebih utamakan pekerja asing yang sehingga kini lebih daripada 2 juta orang.
Katanya, tenaga buruh tempatan boleh dikatakan tidak diberi peluang langsung dalam sektor pembinaan dengan alasan tidak mampu bekerja berat dan takut kerja tempat tinggi.
“Sebenarnya majikan mahu mengelak daripada membekalkan peralatan keselamatan kepada pekerja mengikut peruntukan akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan akta jentera dan kilang.
“Akta yang melindungi pekerja sedia ada tetapi implimentasinya agak lemah kerana majikan tidak mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai satu perlaburan,” katanya.
Halim berkata dalam Akta Kerja 1955 menyebut keutamaan mesti diberikan kepada tenaga buruh tempatan.
Namun apa yang berlaku, katanya, pekerja tempatan dianiaya dengan diberhentikan dengan alasan berlebihan tenaga tetapi pekerja asing terus bekerja.
“Nisbah tenaga kerja perlu diwujudkan dalam akta kerja dengan nisbah 10:1 iaitu 10 pekerja tempatan melayakkan majikan mengambil 1 pekerja asing.
“Terbukti di negara-negara Asean yang lain mengamal melindungi tenaga pekerja tempatan,” katanya.
Halim berkata diskriminasi dalam kuota kaum berlaku dengan keperluan pekerja asing diberi kemudahan kepada majikan dan menghalang tenaga pekerja tempatan menunjukkan kemampuan.
Katanya, ketika Mahathir menjadi perdana menteri sebelum ini, beliau menubuhkan Kolej Komuniti dan tumbuh dengan jayanya.
“Ramai penuntut berlatar belakang vokasional dilahirkan. Yang menghairankan tenaga vokasional ini tidak diberi peluang sehingga hari ini.
“Sektor pembinaan tidak memberi peluang dan lebih mengutamakan tenaga kerja asing kerana ia memudahkan sistem subkon, yang diamalkan tidak mengikut undang undang buruh negara dan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Halim juga berkata majikan tidak mengutamakan tenaga buruh tempatan perlu dikenakan tindakan undang undang terhadap mereka.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/…/mtuc-inisiatif-tak-mem…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com