Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghargai langkah Kementerian Kewangan (MoF) memanggil pihak-pihak berkepentingan termasuk badan induk kesatuan sekerja itu untuk membincangkan kandungan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, walaupun undangan ke sesi itu hanya dimaklumkan kelmarin, pihaknya menghargai dan akan hadir dalam perbincangan yang bermakna itu.
Pertemuan itu akan diadakan esok.
“Amalan ini adalah penting dalam erti kata di mana kami tidak mahu pekerja membelanjakan wang yang diperoleh hasil titik peluh mereka untuk memfailkan tindakan undang-undang hanya bagi membetulkan pelaksanaan yang tidak adil, seperti pelaksanaan gaji minimum yang berlaku sekarang,” katanya.
Kabinet yang bermesyuarat Jumaat lalu memutuskan untuk menarik balik rang undang-undang itu dan menangguhkan bacaan kali kedua sehingga sesi Parlimen bulan Oktober.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan bahawa bacaan kali kedua RUU itu akan ditangguhkan ke sesi Parlimen yang akan datang pada bulan Oktober.
RUU itu dibentangkan pada 1 Ogos dan disenaraikan di kedudukan kedua peraturan mesyuarat, yang dijadualkan akan dibahaskan minggu ini. RUU itu mencadangkan skim di mana majikan dan pekerja perlu membuat sumbangan wajib kepada dana untuk manfaat pekerja yang diberhentikan.
Menurut Johari, beberapa pihak berkepentingan menyatakan kebimbangan mengenai potensi dana itu mengutip RM1.4 bilion setahun daripada 6.5 juta pekerja, manakala hanya sedikit orang yang akan mendapat manfaat daripadanya.
“Kerajaan masih mahu melaksanakannya, tetapi kita mahu memastikan semua pihak berkepentingan faham skim itu,” kata Johari.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, beliau berkata, MTUC mengalu-alukan keputusan Kabinet menarik balik Rang Undang-Undang SIP seperti yang diminta oleh kongres itu.
“Dan, seterusnya mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mengkaji semula rasional bantahan yang kuat terhadap peruntukan-peruntukan tertentu sebelum membentangkannya semula untuk bacaan kali kedua,” katanya.
Kata Solomon, tidak dapat dinafikan MTUC termasuk semua pihak lain memihak kepada pengenalan SIP, tetapi itu tidak bermakna pihak-pihak berkepentingan menerima secara bulat-bulat undang-undang yang tidak sesuai dengan konteksnya dan tidak menguntungkan pekerja apabila ia dilaksanakan kelak.
“Kami tidak mahu MTUC dipersalahkan kononnya bersetuju tanpa asas dengan rang undang-undang yang tidak sepadan dengan tujuan yang dimaksudkan.”
Malah menurut beliau, pihaknya telah memaklumkan kepada Kementerian Sumber Manusia berulang kali agar berbincang dengan MTUC bagi mengelak niat mulia kerajaan ini disalahlaksanakan.
Oleh sebab itu, katanya, MTUC selama tujuh bulan yang lalu telah mencari ruang perbincangan mengenai mekanisme pelaksanaan dan dua kali telah menulis surat, dengan khusus menggariskan cadangan pihaknya.
“Pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsan (NLAC), kebimbangan kami telah diketepikan oleh Pengerusi,” katanya.
Beliau selanjutnya berkata, MTUC menghargai beberapa ahli-ahli Parlimen yang bercakap demi kepentingan pekerja.
“Bagaimanapun, kami menolak dan tidak boleh menerima mana-mana ahli Parlimen bercakap bagi pihak MTUC dengan memberi pandangan yang bertentangan dengan pendirian MTUC.
“MTUC tidak pernah mencadangkan sumbangan pekerja sebanyak 0.25 peratus seperti yang dituntut oleh Ahli Parlimen Kuala Langat (Abdullah Sani), yang merupakan bekas pemangku MTUC sehingga 30 November 2016,” katanya.
Tambah beliau, MTUC telah dengan jelas berulang kali menegaskan sumbangan RM1 bagi setiap tiga pihak iaitu pekerja, majikan dan kerajaan.
“MTUC tidak mahu pihak ketiga cuba memesongkan peranan MTUC dan mengelirukan orang awam tanpa asas.
“Oleh itu, kami menghargai Ahli Parlimen akan berbincang dengan Setiausaha Agung yang merupakan Ketua Eksekutif MTUC untuk mendapatkan maklumat jika diperlukan, kerana beliau adalah satu-satunya pihak yang dibolehkan memenuhi permintaan untuk koresponden bagi pihak MTUC,” katanya lagi.
Kelmarin, MEF juga mencadangkan sumbangan RM1 daripada pihak kerajaan, majikan dan pekerja, di mana ia selari dengan cadangan MTUC.
“Oleh itu, Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan dengan serius cadangan kedua-dua pihak berkepentingan utama ini dalam menggubal undang-undang SIP,” kata beliau.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/…/mtuc-hargai-langkah-mof-jum…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com