Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Persatuan pekerja hari ini menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat dakwaan mengejutkan dalam pengurusan Zoo Negara yang dilaporkan kehilangan dana untuk menaik taraf kemudahannya selepas 56 tahun ditubuhkan.
Setiusaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut memulakan siasatan kegagalan Zoo Negara membina rumah bagi pekerja mereka meskipun menerima peruntukan kerajaan RM1.6 juta pada 2001.
“Ketika itu, MTUC diberitahu peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembinaan 7 pangsapuri dengan 3 bilik, yang kami fikir adalah terlalu mahal, memandangkan ia hanya (melibatkan) 7 unit kediaman sahaja.
“Namun begitu, pangsapuri tersebut tidak pernah diberikan kepada pekerja,” kata Solomon dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, FMT melaporkan Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata menaik taraf kemudahan memerlukan kos yang banyak.
Namun, disebabkan kekurangan dana dan kehilangan sokongan kerajaan menjadikan Zoo Negara gagal dinaik taraf dan diselenggara dengan baik.
Rosly juga dilaporkan berkata, Zoo Negara berdepan masalah kewangan apabila geran persekutuan 5 tahun sebanyak RM5 juta tamat pada 2004.
Mengulas lanjut, Solomon berkata, pihaknya sudah membuat laporan dan aduan kepada 2 kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung perkara itu.
Dakwanya, mereka masih belum menerima sebarang maklum balas dan masih menunggu respon daripada kedua-kedua kementerian tersebut.
“Selama bertahun-tahun, selain daripada projek pangsapuri yang kontroversi, terdapat juga rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja zoo dengan cara kontrak Zoo Negara diberikan dan penerima manfaat daripada tender ini,” katanya.
Beliau juga turut menggesa Persatuan Zoologi Malaysia tampil menerangkan kebimbangan berhubung perkara itu dan menjelaskan kedudukan kewangannya yang lemah meskipun menerima peruntukan dana kerajaan.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/07/23/mtuc-gesa-sprm-siasat-kehilangan-dana-zoo-negara/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com