Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysa (MTUC) menggesa para pengguna menolak sebarang gesaan memboikot barangan tempatan bersandarkan sentimen perkauman dan keagamaan sebaliknya menyokong segala produk buatan Malaysia demi kebaikan semua warga pekerja.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya tidak bermasalah dengan kempen menggalakkan penggunaan produk halal dalam kalangan pengguna Islam kerana ia selaras dengan tuntutan agama.
“Kami juga tidak bermasalah jika fokus diberikan untuk meningkatkan sambutan rakyat terhadap produk Bumiputera, tanpa mencemuh atau menidakkan produk tempatan lain.
“Apa yang kami menentang adalah keghairahan pihak tertentu, termasuk ahli politik menggunakan sentimen agama dan perkauman untuk meracuni pengguna supaya memulau produk tempatan buatan syarikat milik kaum tertentu,” katanya di sini.
Menurut beliau, sebarang kempen seperti itu bukan sahaja menjejaskan perpaduan negara, tetapi turut merugikan warga pekerja merentasi kaum dan agama.
“Ini termasuk pekerja beragama Islam yang mencari nafkah halal dengan syarikat-syarikat yang selama ini menghasilkan pelbagai produk yang menepati piawaian pihak berkuasa agama dan undang-undang negara ini,” katanya.
Jelasnya, sebarang boikot yang didorong oleh keghairahan pihak tertentu mencari pengaruh politik semata-mata harus ditolak, khususnya apabila agama dan kaum dipergunakan untuk menimbulkan provokasi dalam kalangan rakyat.
“MTUC menggesa pengguna untuk tidak menjadi mangsa kepada helah pihak tertentu yang sanggup menggadaikan kepentingan pekerja dengan menggalakkan boikot produk syarikat tertentu atas alasan-alasan yang tidak masuk akal.
“Sebarang boikot yang mempunyai agenda sempit juga membawa risiko pelabur asing memulau Malaysia, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan dan masa depan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.
Abdul Halim berkata, walaupun boikot sedemikian masih ‘jauh’ daripada memberi kesan kepada untung rugi syarikat tempatan, namun MTUC terpanggil untuk memberi peringatan awal bahawa kempen sedemikian harus ditolak sepenuhnya demi kebaikan pekerja dan kesejahteraan negara.
Source : https://www.utusan.com.my/…/mtuc-gesa-rakyat-tolak-boikot-p…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com