Miskin dorong kes dera meningkat?
13 April 2017 Print page
DEWASA ini, kita sering dikejutkan dengan berita penderaan kanak-kanak dari segi fizikal dan juga mental. Kes ini bukanlah suatu isu baharu di Malaysia namun ia perlu dititikberatkan kerana boleh merosakkan kehidupan mereka kelak.
Kajian dilakukan Schuck dan Widom pada 2005 menyatakan kebanyakan kes penderaan kanak-kanak boleh dijelaskan puncanya dengan melihat kepada faktor sosioekonomi terutamanya kadar kemiskinan tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak ramai.
Di Mexico, peratusan tinggi dalam kalangan ibu bapa mempunyai pengalaman terlibat dalam keganasan rumah tangga telah mendorong mereka menjadi pendera apabila dewasa dan seterusnya terlibat dalam kes penderaan fizikal kanak-kanak.
Tanda-tanda mereka yang berisiko tinggi menjadi seorang pendera adalah pengalaman menjadi saksi kepada keganasan dilakukan ibu bapa atau menjadi mangsa penderaan fizikal ibu bapa sendiri mahupun penjaga ketika masih kecil.
Sementara itu, ibu bapa Melayu yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak majoritinya turut kurang mendalami dan memahami tuntutan agama Islam. Disebabkan itu, mereka tidak dapat mengawal kemarahan dan melepaskan geram terhadap anak-anak.
Dalam surah At-Tahrim ayat 6, Allah SWT berfirman: “Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” Ayat ini menjelaskan bahawa besarnya peranan ibu bapa yang beriman mendidik anak-anak mereka dengan kebaikan bukannya mendidik mereka dengan kekasaran.
Penderaan kanak-kanak menunjukkan runtuhnya nilai kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga dan hal itu secara tidak langsung menjejaskan hasrat negara untuk mencapai taraf negara maju.
Universiti Sains Islam Malaysia
Source : http://www.utusan.com.my/rencana/forum/miskin-dorong-kes-dera-meningkat-1.467750#ixzz4e8v9KZne