Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SEDAR atau tidak, kos sara hidup meningkat dari semasa ke semasa. Harga barang-barang yang tidak terkawal mengalami peningkatan sedikit demi sedikit. Bagi yang biasa berbelanja, mereka akan terasa kerana daripada jumlah wang dibawa, apa yang dibawa pulang selalunya lebih sedikit kuantitinya daripada biasa.
Lazimnya, ramai yang merungut apabila berlaku peningkatan kos sara hidup. Dari semasa ke semasa, kenaikan harga barang dan perkhidmatan menjadi isu yang sering dipaparkan di pelbagai media. Biasanya, apabila kos sara hidup semakin meningkat, ini akan memberi bebanan kepada pelbagai pihak, apatah lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kenaikan harga minyak petrol pada Jun 2008 sehingga mencapai RM2.70 seliter menjadikan pengguna kenderaan panik kerana kenaikan itu berlaku secara mendadak. Maka selepas itu, pelbagai saranan dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi supaya orang ramai berjimat dalam segala hal.
Ada yang menyuruh mat-mat rempit tidak merempit lagi, ada yang mencadangkan agar dikurangkan tabiat makan di luar, dan pelbagai lagi. Malah, ada yang meminta agar segala barang yang selalu diseret di dalam kereta seperti buku, majalah dan sebagainya ditinggalkan di rumah supaya kenderaan tidak dibebankan dengan benda-benda tidak berkaitan selain daripada penumpang dan pemandu.
Kesan daripada kenaikan kos sara hidup selalunya menyebabkan seseorang tidak boleh menyimpan wang atau melabur seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Kenaikan kos sara hidup ternyata mendidik setiap individu selalu berjimat. Mereka juga terpaksa mengorbankan beberapa rutin harian atau bulanan semata-mata kerana hendak berjimat.
Biasanya, tabiat pengguna hanya akan menyedari kesan kenaikan harga barang pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila harga sesuatu barang meningkat, mereka akan berjimat tetapi malangnya sikap ini tidak diamalkan secara berterusan. Dalam kes kenaikan petrol pada 2008 dahulu, ramai yang kurang makan minum di luar sebaliknya menyediakan makan minum di rumah. Anak-anak pun sanggup dibawa bekal makanan dan minuman ke sekolah.
Malangnya, apabila harga minyak diturunkan, tabiat lama berulang semula. Maka kedai-kedai makan minum penuh dengan pelanggan dan tabiat boros berbelanja tidak terkawal lagi. Mat-mat rempit bebas merempit siang malam. Di kampung-kampung, budak-budak yang tak cukup umur pun bermotosikal melilau ke sana-sini tidak kira waktu.
Tidak dinafikan bahawa, kenaikan kos sara hidup menjadikan seseorang itu lebih rajin bekerja. Malah, ada yang bekerja secara sambilan walaupun sudah mempunyai kerja tetap. Ada pekerja di sektor awam dan swasta berniaga pada sebelah malam untuk mencari wang lebih. Mereka juga akan berikhtiar mencari punca pendapatan untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat.
Bagi mereka yang pakar dalam teknologi maklumat (IT), mereka akan mencari pendapatan menerusi kaedah online, dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan demi menambah pendapatan.
Apa-apa pun, pelbagai langkah yang perlu dipraktikkan ketika berbelanja dalam kegawatan ekonomi mesti dikekalkan oleh setiap individu tidak kira bagaimana situasi ekonomi itu.
Oleh itu, langkah-langkah di bawah mesti dipraktikkan:
l Membuat perbandingan harga
l Menyenaraikan terlebih dahulu sesuatu yang ingin dibeli
l Membeli dengan kadar agak banyak tetapi tidak membazir
l Mengutamakan barangan tempatan
l Membeli ketika diadakan tawaran harga
l Mengelak daripada membeli barang-barang yang tidak begitu diperlukan
Setiap individu mesti memahami bahawa kenaikan kos sara hidup turut berpunca daripada sikap diri sendiri yang boros berbelanja, Oleh itu, setiap anggota masyarakat mesti mempunyai pendidikan tentang hal-hal kepenggunaan kerana dengan cara ini akan dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup.
Source : http://www.utusan.com.my/…/memahami-kesan-kenaikan-kos-sara…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com